Dr M lancar serangan terbaru terhadap Pak Lah
Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad "melancarkan serangan terbarunya" terhadap Perdana Menteri pilihannya, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang didakwanya telah 'membahayakan' pertumbuhan ekonomi negara.
Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad "melancarkan serangan terbarunya" terhadap Perdana Menteri pilihannya, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang didakwanya telah 'membahayakan' pertumbuhan ekonomi negara.
Di samping itu, katanya, tahap keyakinan terhadap Abdullah yang sudah tidak tahun menjadi Perdana Menteri turut merosot.
"Saya tidak nampak sebarang projek baru dilaksanakan untuk merangsang ekonomi," katanya dalam laporan wawancaranya dengan perkhidmatan berita kewangan, Bloomberg di pejabatnya di Putrajaya hari ini.
"Saya tidak nampak sebarang perubahan yang lebih baik sejak beberapa tahun lalu. Ia menjejaskan negara dan pertumbuhan negara," katanya.
Dr Mahathir, 81 yang bersara pada 2003 selepas 23 tahun meneraju kerajaan berkata negara perlu meningkatkan perbelanjaan dalam bidang teknologi dan bukannya bertumpu kepada pengeluaran pertanian.
Beliau juga berkata, projek Koridor Raya Multimedia di Cyberjaya, yang diilhamnya, juga telah diabaikan.
"Ia tidak dipromosi secukupnya," katanya. "Banyak lagi syarikat yang berminat untuk datang."
Mahathir juga membidas kerajaan kerana gagal "memahami bahawa kita terpaksa mengambil risiko" apabila melaburkan dalam teknologi maklumat.
"Jika anda berjaya dalam satu daripada 10 atau 20 projek, itu satu keputusan yang baik," katanya kepada Bloomberg.
Bekas Perdana Menteri itu juga tidak optimistik Wawasan 2020 yang diilhamkannya untuk menjadi Malaysia sebuah negara maju menjelang 2020 dapat tercapai.
Tiada komen dari PM
Mahathir sebelum ini bertelagah dengan Abdullah, terutama mengenai bebearpa keputusan penting seperti pembatalan projek jambatan menggantikan Tambak Johor.
Setiausaha Akhbar Abdullah Azhar Osman memberitahu Bloomberg melalui telefon bahawa Abdullah tidak akan mengulas sebarang komen Dr Mahathir dalam wawancara pada 9 Oktober lalu.
Masa Dr Mahathir dibahagikan kepada dua tugas utama tiga hari seminggu sebagai Penasihat Kehormat Yayasan Kepimpinan Perdana dan dua hari seminggu sebagai penasihat syarikat minyak negara, Petronas di KLCC.
Wawancara tersebut akan disiarkan melalui saluran TV Bloomberg, yang boleh diikuti melalui stesen TV Astro pada jam 1 tengahari, 8 malam dan 11.30 malam Isnin depan.
Sementara itu, Program Talk Asia di CNN pula akan menyiarkan wawancaranya dengan Abdullah pada jam 7.30 pagi dan 11 malam Sabtu ini. Berita asal

