Keuntungan bersih syarikat gergasi utiliti, Tenaga Nasional Bhd sebelum mengambil kira keuntungan daripada pertukaran asing, naik 51.1 peratus kepada RM1.635 bilion bagi tahun berakhir 31 Ogos 2006. TNB mencatat keuntungan bersih RM1.082 bilion tahun lalu.

Ini berikutan peningkatan pendapatan sebanyak 7.4 peratus kepada RM20.384 bilion hasil peningkatan permintaan terhadap tenaga elektrik serta pelaksanaan tarif baru yang berkuatkuasa mulai 1 Jun 2006.

Menurut laporan Bernama, keuntungan hasil pertukaran asing pula berjumlah RM491.3 juta berbanding RM197.5 juta.

Mengenai pertambahan pendapatan, TNB melaporkan peningkatan perbelanjaan kendalian sebanyak 4.4 peratus ekoran faedah-faedah yang diraih dari segi pewujudan nilai dan penjimatan kos melalui inisiatif yang dilaksanakan di seluruh syarikat, kata , kata TNB dalam satu kenyataan semalam.

TNB, yang membekalkan tenaga elektrik kepada kira-kira 6.8 juta pelanggan, berkata dividen kasar akhir sebanyak 12 sen dicadangkan.

Ekoran perbelanjaan yang lebih rendah, TNB melaporkan perolehan sebelum ditolak margin faedah, cukai, penyusutan dan pelunasan (EBITDA) sebanyak 35.7 peratus dan margin EBIT sebanyak 19.4 peratus berbanding masing-masing 31.2 peratus dan 16.5 peratus tahun lalu.

Bercakap dalam satu sidang akhbar semalam, Pengerusi TNB, Tan Sri Amar Leo Moggie, berkata TNB telah melakukan banyak usaha untuk menambah baik tahap kecekapan operasi dan teknikal.

Pengurusan rumah tangga

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Che Khalib Mohamad Noh pula berkata TNB memulakan inisiatif "pengurusan rumah tangga" tahun lalu, bertujuan menghasilkan nilai melalui kutipan hutang tertunggak daripada pelanggan culas, membendung perbuatan mencuri elektrik serta menangani kos bahan api yang tinggi, yang dialami anak syarikatnya.

"Pada masa yang sama, usaha-usaha sedang dilakukan untuk menguruskan kos melalui inisiatif penjimatan kos, untuk meraih nilai daripada hasil awal penambahbaikan yang berterusan.

"Dalam tahun kewangan 2006, kami menetapkan sasaran kami yang lebih agresif lagi di bawah Petunjuk Prestasi Utama (KPI) dan Inisiatif Seluruh Syarikat.

Menurutnya, jumlah nilai yang diwujudkan dan penjimatan kos yang dicapai dalam tahun kewangan 2005 dan 2006 masing-masing RM962.4 juta dan RM893.7 juta adalah melebihi sasaran awal yang ditetapkan.

Moggie pula menegaskan, "dengan margin EBITDA yang dicapai bagi tahun 35.7 peratus dan pulangan ke atas aset sebanyak 3.3 peratus, kami sekarang meletakkan diri kami pada kedudukan untuk menjadi setanding dengan utiliti serantau.

"Cabaran-cabaran di hadapan ialah keupayaan untuk bertahan dalam menghadapi tekanan inflasi dan menguruskan kos kapasiti berlebihan industri dalam jangka sederhana," katanya.

Khalib berkata fasa pelan hala tuju TNB berikutnya ialah ke arah membina keupayaan dan mencapai kecemerlangan perkhidmatan.

Bagi tahun kewangan 2006, kumpulan itu melaporkan kerugian ekonomi yang lebih rendah sebanyak RM1,726.6 juta berbanding RM2,154.1 juta dalam tempoh yang sama tahun lalu, dan ini merupakan penambahbaikan sebanyak 19.8 peratus.

Keuntungan ekonomi mengukur nilai yang dihasilkan sesebuah syarikat dengan menggunakan modalnya bagi satu tempoh masa.