Hindu Sangam buat laporan polis terhadap Mohd Fauzi
Hindu Sangam Hindu Malaysia telah membuat laporan polis terhadap Ketua Jabatan Syariah Takaful Malaysia, Mohd Fauzi Mustaffar kerana mengedar emel melarang kakitangannya memberi ucapan Selamat Deepavali.
Hindu Sangam Hindu Malaysia telah membuat laporan polis terhadap Ketua Jabatan Syariah Takaful Malaysia, Mohd Fauzi Mustaffar kerana mengedar emel melarang kakitangannya memberi ucapan Selamat Deepavali.
Laporan tersebut dibuat oleh Presidennya, Datuk Datuk A Vaithilingam di balai polis Sentul, Kuala Lumpur. Beliau memberitahu malaysiakini, beliau membuat laporan tersebut pada jam 2.30 petang tadi.
Sementara itu, dalam satu kenyataan berasingan, persatuan induk penganut Hindu itu mendesakkan Mohd Fauzi dipecat kerana mengedar emel tersebut.
Vaithilingam berkata, pihaknya terusik dan kecewa dengan tindakan ketua jabatan Syariah Takaful Malaysia, Mohd Fauzi Mustaffar mengedarkan emel tersebut.
"Kita menerima banyak panggilan daripada penganut agama Hindu yang memandang berat tindakan yang mencemuh masyarakat Hindu ini. Kami minta pihak berkuasa memecat beliau jika tidak menarik balik kenyataannya itu dan memohon maaf kepada masyarakat Hindu," katanya.
Vaithilingam berkata, Hindu Sangam Malaysia akan membuat laporan polis berhubung perkara tersebut.
Katanya, kenyataan tersebut, yang diedarkan kepada semua kakitangan Takaful Malaysia melalui emel itu berunsur hasutan dan boleh mencetuskan rasa benci antara agama yang boleh menjejaskan keharmonian.
Semalam, Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam (Ikim), Syed Ali Tawfik Al Attas turut mendesak supaya Mohd Fauzi dipecat kerana berpendapat dia tidak layak memegang jawatannya itu.
Katanya, Mohd Fauzi juga harus bertaubat atas keangkuhannya itu dengan menganggap dirinya berpengetahuan untuk mengeluarkan kenyataan seumpama itu.
DAP juga turut menggesa Takaful Malaysia supaya menarik balik emel tersebut dan memohon maaf kepada masyarakat Hindu di Malaysia.
Edaran dalaman
Ketua jabatan Syariah Takaful Malaysia itu mencetuskan kontroversi apabila mengedarkan emel meminta kakitangan Islam syarikat itu berhati-hati dengan ungkapan ucapan yang berkaitan kepercayaan agama lain.
Menurut e-mel itu lagi, antara ucapan perayaan yang perlu dielakkan oleh kakitangan Islam Takaful ialah "Happy Deepavali, Happy Durga Pooja dan Happy Lakshmi Pooja" kerana ucap selamat itu membabitkan Tuhan mereka.
Sementara itu semalam Takaful Malaysia telah memohon maaf berhubung emel yang ditulis oleh Fauzi itu.
Dalam satu kenyataan yang dimuatkan dalam laman web rasminya, syarikat insurans itu memohon maaf sekiranya e-mel tersebut telah mencetuskan kekeliruan dan salahfaham.
Ia menjelaskan e-mel tersebut adalah untuk edaran dalaman dan merupakan satu nasihat atau pandangan peribadi kepada kakitangannya sahaja.
Manakala Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Abdullah Mohamad Zin membidas Fauzi sambil berkata, sifat beramah mesra adalah penting dalam mewujudkan keharmonian kaum.
"Hanya kerana anda mengucapkan selamat Deepavali, ia tidak bermakna yang adan telah menerima kepercayaan dan agamanya," kata Abdullah yang bertanggungjawab terhadap hal ehwal agama Islam.
"Dalam masyarakat pelbagai kaum dan agama seperti di negara kita ini, adalah penting hidup dalam harmoni dan berbaik-baik antara satu sama lain," tambahnya.
Sejak kebelakangan ini, wujud bantahan dari kalangan umat Islam yang konservatif terhadap amalan mengadakan perayaan bersama seperti kongsi raya dan kongsi Deepavali. Mereka menganggap perbuatan itu boleh mengakibatkan syirik.
Awal tahun ini, dalam reaksinya terhadap gesaan Majlis Fatwa Kebangsaan supaya dikaji semula perayaan bersama itu, kerajaan menjelaskan ia adalah untuk kepentingan keharmonian rakyat pelbagai kaum di negara ini. Berita asal

