Pendatang tanpa izin dinasihat pulang sempena Aidilfitri
Kerajaan tidak berhasrat untuk memberi pelepasan atau melonggarkan peraturan imigresen untuk pendatang tanpa izin yang dianggarkan seramai 600,000 meninggalkan negara ini dalam tempoh terdekat ini.
Kerajaan tidak berhasrat untuk memberi pelepasan atau melonggarkan peraturan imigresen untuk pendatang tanpa izin yang dianggarkan seramai 600,000 meninggalkan negara ini dalam tempoh terdekat ini.
Berikutan itu, Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri Datuk Seri Mohd Radzi Sheikh Ahmad menasihatkan mereka supaya pulang ke negara asal mereka menjelang Aidilfitri ini, sebelum pihak berkuasa melancarkan operasi secara besar-besaran tahun depan.
"Pandai-pandai merekalah untuk pulang termasuk melalui pintu masuk yang sah, kalau nasib baik lepas, jika tidak kita tahan," katanya kepada pemberita selepas majlis berbuka puasa bersama kira-kira 200 kakitangan agensi di bawah kementerian itu di Kangar semalam.
Awal tahun lalu, kerajaan telah memberi tawaran pengampunan kepada pendatang tanpa izin tahun lalu. Tetapi hanya kira-kira 400,000 daripada 1.2 pendatang haram yang dianggarkan berada di Malaysia, menerimanya serta pulang secara sukarela dan masuk semula secara sah.
Menurut laporan Bernama, Mohd Radzi berkata, jika pendatang asing tanpa izin itu boleh memasuki negara ini secara haram sebelum ini maka mereka juga semestinya mempunyai cara untuk keluar dari negara ini tanpa dikesan oleh pihak berkuasa.
Sistem biometrik
Mohd Radzi berkata mereka yang ditahan dalam operasi tahun depan akan ditempatkan di pusat tahanan sebelum dihantar pulang dan mereka boleh dikenakan hukuman penjara jika ditahan kali kedua.
Beliau berkata Jabatan Imigresen dengan mudah dapat mengesan pesalah imigresen dengan penggunaan sistem pengenalan diri biometrik sejak tahun lalu.
Mohd Radzi memberi amaran kepada majikan tempatan supaya berhenti mengambil pekerja tanpa izin kerana mereka juga tidak terkecuali daripada tindakan undang-undang.
"Tidak ada sebab untuk majikan mengupah PATI kerana proses pengambilan pekerja asing kini semakin mudah," katanya.

