Ketua Putera Umno, Datuk Azeez Abdul Rahim menolak dakwaan yang beliau mencari publisiti murah melalui isu Mat Rempit.

"Saya tidak perlukan publisiti kerana orang sudah tahu siapa saya. Saya Ketua Putera Umno dan Ahli Jawatankuasa Pergerakan Pemuda Umno," tegasnya.

Beliau berkata, hasrat utamanya ialah membantu Mat Rempit keluar dari gejala tidak sihat seperti dadah, rogol dan jenayah.

"Saya dibesarkan di Kampung Medan, Petaling Jaya di mana begitu ramai anak-anak muda yang menjadikan Mat Rempit pada malam minggu.

"Jadi sedikit sebanyak saya dapat menyelami masalah golongan ini. Jadi saya tampil untuk membantu mereka dan bukannya mencari publisiti," katanya kepada malaysiakini.

Beliau sedar ramai yang memandang sinis usahanya mendekati golongan Mat Rempit kerana ramai yang menganggap usaha tersebut sebagai sia-sia.

Azeez berkata, beliau tidak "ambil pusing" terhadap semua kritikan itu kerana ikhlas mahu membela nasib Mat Rempit dan membantu mereka kembali ke pangkal jalan.

Tugas mencabar

"Saya berjanji tidak akan menoleh ke belakang atau patah hati dengan tugas yang mencabar dan sukar ini. Saya sudah lali dengan kritikan," katanya lagi.

Ditanya sama ada usahanya itu akan mendapat kejayaan, Azeez berkata, setakat ini kira-kira 2,800 Mat Rempit yang bermasalah telah kembali ke pangkal jalan.

"Belum cuba belum tahu, berilah saya peluang untuk membimbing mereka kembali ke pangkuan masyarakat," katanya lagi.

Beliau juga menjelaskan, Putera Umno bukan mahu melindungi Mat Rempit sebaliknya mahu membantu kerajaan membasmi gejala lumba motorsikal haram yang semakin berleluasa.

"Mana-mana Mat Rempit yang ingin mengikuti programn kita dikenakan syarat-syarat dan mereka mesti mematuhinya," ujarnya.

Katanya, Mat Rempit yang enggan mengikut syarat yang ditetapkan akan disingkirkan dari Putera Umno.

"Putera Umno bukan payung bagi Mat Rempit yang ingin mengambil kesempatan daripada Putera yang cuba membimbing mereka," kata Azeez lagi.