Media Thai yang dianggap antara yang paling bebas di rantau ini, kini dikongkong ekoran meningkatnya sekatan terhadap kebebasaan bersuara dan penyebaran maklumat selepas rampasan kuasa tentera pada 19 September lalu, kata seorang pengamal media yang juga ahli akademik.

Sebelum rampasan kuasa itu, Perdana Menteri Thaksin Shinawatra dikritik hebat oleh media dan akademik kerana usahanya untuk mengawal media sepanjang lima tahun pemerintahnya. Bagaimanapun, selepas penyingkirannya bulan lalu, keadaan menjadi lebih sukar.

Menurut laporan Bernama, sehingga hari ini, tentera masih mengawal kawasan stesen-stesen televisyen manakala lebih 300 stesen radio komuniti di bahagian utara negara itu digantung. Akhbar-akhbar pula membuat tapisan sendiri manakala laman-lamanweb yang kritikal kepada junta tentera, ditutup.

Seorang wartawan tempatan yang bertugas di sebuah akhbar berbahasa Inggeris popular memberitahu sebuah forum di Kelab Koresponden Asing di Bangkon, dua komentarnya yang mengkritik rampasan kuasa itu tidak disiarkan.

"Tulisan pertama saya beberapa hari selepas rampasan kuasa dianggap terlalu awal untuk mengkritik mereka yang merampas kuasa manakala komentar yang dibuat beberapa hari lalu dianggap sudah terlewat," katanya mengenai akhbarnya yang sangat kritikal terhadap Thaksin, tetapi kini melaporkan berita yang menyokong rampasan kuasa itu.

Somkiat Tangnamo, pembangun web dan "rektor" of Midnight University, berkata laman-lamanweb yang menyiarkan artikel serta ruang untuk orang ramai membincangkan isu-isu sosial dan politik, ditutup selepas ia mengkritik perlembagaan sementara yang digubal pemimpin rampasan kuasa.

Lamanweb ditutup

Lamanwebnya yang menerima kunjungan lebih daripada 2.5 juta sebulan, ditutup tanpa notis rasmi, menyebabkan Somkiat membuat aduan dengan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia dan memfaikan kes itu di Mahkmah Pentadbiran.

Chiranuch Premchaiyaporn, pengurus lamanweb Pratchatai yang disifatkan sebilangan rakyat Thai sebagai satu-satunya ruang bebas untuk membuat komen di web di negara itu, berkata lamanwebnya masih dibuka namun kerap diserang penggodam dan spam.

"Semasa pemerintahan Thaksin, banyak usaha dilakukan untuk mengawal media namun kami tidak pernah menghadapi masalah. Tapi kini banyak spam dan penggodam cuba menutup lamanweb kami," katanya.

Chiranuch juga berkata beliau melakukan tapisan sendiri ke atas kebanyakan ulasan, terutama yang menyentuh monarki atau serangan peribadi terhadap mereka yang melakukan rampasan kuasa ekoran keadaan semasa.

Ajarn Giles Ungpakorn, seorang profesor di jabatan sains politik di Universiti Chulalongkorn berkata, beliau hairan dengan hasil bancian bahawa 80 peratus rakyat negara itu menyokong rampasan kuasa terbabit.

Menurutnya, dalam pilihanraya umum 2005, Parti Thaksin, Thai Rak Thai (TRT) memperoleh 19 juta undi dan 16 juta pada pilihanraya April lalu.

Protes anti-rampasan

"TRT menang kerana dasar-dasarnya disasarkan terhadap golongan miskin dan penduduk luar bandar yang merupakan golongan majoriti di negara itu. Namun tiba-tiba selepas rampasan kuasa, 80 peratus penduduk Thai menyokong rampasan itu... ini satu penipuan," katanya.

Ungpakorn, yang menjalankan protes anti-rampasan kuasa pertama di sebuah pasaraya di Bangkok berkata beliau percaya sepenuhnya bahawa dasar sementara kerajaan tidak memihak kepada golongan miskin, berdasarkan latarbelakang menter-menteri kabinetnya.

"Kabinet ini penuh dengan ahli ekonomi neo-liberal. Mereka akan memihak kepada rundingan perdagangan bebas dan mereka sudahpun mahu mengurangkan projek kereta api utama kepada hanya satu... mereka tidak peduli mengenai masalah kesesakan lalu lintas di bandar raya," katanya.

Mengenai keganasan di wilayah selatan negara itu yang telah mengorbankan lebih daripada 1,700 nyawa, Ungpakorn berkata, beliau meragui bahawa kerajaan baru ini dapat menyelesaikan isu itu kerana masalah tersebut bergantung kepada tentera dan polis.

"Mereka bercakap mengenai ketelusan dan keadilan, namun adakah anda fikir mereka akan mendakwa anggota tentera yang bertanggungjawab terhadap insiden Tak Bai. Kerajaan ini dikawal oleh tentera... lihat Dewan Perundangan Nasionalnya yang penuh dengan anggota tentera," katanya.