Najib: Kenyataan Mirzan dibuat secara sukarela
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menolak anggapan bahawa kerajaan mengenakan tekanan terhadap Institut Strategi dan Kepimpinan Asia (Asli) supaya menarik balik hasil kajiannya mengenai pemilikan ekuiti bumiputera dalam ekonomi negara.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menolak anggapan bahawa kerajaan mengenakan tekanan terhadap Institut Strategi dan Kepimpinan Asia (Asli) supaya menarik balik hasil kajiannya mengenai pemilikan ekuiti bumiputera dalam ekonomi negara.
"Tidak ada tekanan daripada kerajaan dan kenyataan yang dibuat oleh Presiden Asli(Mirzan Mahathir) adalah atas dasar sukarela. Asli adalah sebuah kumpulan pemikir yang bebas dan terpulanglah kepada Asli untuk memutuskan bidang kuasanya dalam sebarang isu.
"Kami menghargai hakikatnya bahawa perhatian diberikan (kepada pemilikan ekuiti bumiputera)...tetapi mestilah ada tahap persetujuan secara konsensus di peringkat kebangsaan mengenai data ekonomi terutama data ekonomi yang sensitif kepada Malaysia," katanya.
Menurut laporan Bernama, Najib menegaskan demikian dalam sidang media selepas menyaksikan majlis menandatangani perjanjian jual beli antara Syarikat Prasarana Negara Berhad dan Bombardier Hartasuma semalam.
Selasa lalu, kepimpinan Asli memisahkan diri daripada hasil kajian kumpulan pemikir itu mengenai pemilikan ekuiti Bumiputera dalam syarikat tersenarai mungkin setinggi 45 peratus. Berikutan itu, Pengarah Pusat Kajian Dasar Awam Asli Dr Lim Teck Ghee meletak jawatan kerana mempertahankan hasil kajian itu.
Najib mengulangi bahawa kerajaan mempertahankan ketepatan data mengenai pemilikan ekuiti Bumiputera dan bukan Bumiputera seperti yang dikeluarkan oleh Unit Perancang Ekonomi (EPU).
Mengenai situasi di Selatan Thailand, Najib yang juga Menteri Pertahanan berkata kerajaan Malaysia menyambut baik sebarang penyelesaian politik antara pihak-pihak yang bertelagah di Selatan Thailand.
Katanya Malaysia juga berharap kawasan yang bergolak itu mencapai keamanan dengan segera sambil menambah bahawa wujud peluang baik bagi kerajaan baru Thailand untuk mengambil inisiatif baru untuk menyelesaikan konflik yang berlaku di bahagian selatan negara itu.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.