MCA akan terus berusaha membina lebih banyak sekolah rendah Cina baru dan menempatkan semula sekolah Cina sedia ada dari luar bandar ke bandar bagi memenuhi keperluan masyarakat Cina pada masa kini dan akan datang.

Naib Presidennya, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek berkata, walaupun ada pihak menganggap isu berkaitan pembinaan sekolah rendah Cina sebagai isu perkauman, tetapi bagi MCA, ia merupakan suatu tanggungjawab moral parti itu terhadap masyarakat Cina.

Dr Chua, yang juga Menteri Kesihatan dan Pengerusi MCA Johor menegaskan demikian di majlis penyampaian cek bernilai RM100,000 kepada wakil Persatuan Ibubapa dan Guru (PIBG) SJK (C) Johor Jaya di Johor Bahru malam tadi.

Menurut laporan Bernama, sumbangan tersebut adalah untuk memenuhi sebahagian daripada janji parti itu untuk membantu sekolah berkenaan membina bangunannya setinggi empat tingkat.

Sekolah berharga RM1.9 juta dengan 22 bilik darjah itu siap dibina pada tahun lepas.

Dr Chua juga menegaskan jawapan Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Noh Omar di Parlimen berkaitan pembinaan sekolah Cina dan Tamil baru-baru ini bukan saja tidak tepat, malah tidak mencerminkan pendirian kerajaan.

Katanya apabila menteri berkenaan tidak hadir, timbalannya perlu menjawab soalan yang dikemukakan di Parlimen.

"Timbalan menteri berkenaan akan merujuk kepada pegawai kementerian bagi mendapatkan maklumat lanjut, tapi jawapan yang diberi tidak semestinya mencerminkan pendirian kerajaan tentang sesuatu isu," katanya.