Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
K'jaan setuju cadangan lupus sebahagian hutang peneroka Felda, RM8.3 blion
Diterbitkan:  Jul 7, 2021 3:46 PM
Dikemaskini: 7:56 AM

Kerajaan secara dasar bersetuju cadangan Felda untuk melupuskan sebahagian pinjaman peneroka berjumlah RM8.3 bilion, maklum Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

"(Pelupusan hutang peneroka ini) melalui inisiatif pelarasan pinjaman peneroka secara bersyarat terutama bagi generasi awal yang telah berkorban keringat dan air mata untuk membolehkan program rancangan pembangunan tanah ini dijayakan," katanya pada teks ucapan sempena sambutan Hari Peneroka hari ini.

Menurut Muhyiddin, pelupusan hutang ini selepas kerajaan mengenal pasti ia salah satu isu merencatkan usaha membangunkan Felda setanding syarikat perladangan terkemuka dunia.

"Isu hutang yang membelenggu Felda dan warga pewaris para peneroka semenjak sekian lama.

"Isu hutang ini harus diperbetulkan dahulu untuk memudahcarakan proses penjanaan semula atau ‘restart’ Felda," katanya lagi.

Perdana menteri berkata pelupusan bersyarat ini antaranya merangkumi beberapa pelarasan, sebagaimana berikut:

"Pelarasan sebahagian baki pinjaman tanam semula sehingga 31 Disember 2019, berjumlah RM8.0 bilion, yang akan memberi manfaat kepada 92,441 orang peneroka (iaitu meliputi 82peratus dari keseluruhan 112,638 warga peneroka);

"Pelarasan sebahagian baki tunggakan pinjaman baja sehingga 31 Disember 2019, berjumlah RM168 juta, melibatkan 52,180 peneroka (iaitu meliputi 46 peratus warga peneroka);

"Pelarasan sepenuhnya baki pinjaman saham FGV Holdings Bhd sehingga 7 Julai 2021, bernilai RM78 juta, melibatkan 38,043 peneroka (iaitu meliputi 34 peratus warga peneroka); dan

"Pelarasan sepenuhnya baki pinjaman pembangunan asal sehingga 31 Disember 2019, berjumlah RM56 juta, yang akan dinikmati 6,711 orang peneroka (iaitu kira-kira 6 peratus warga peneroka)."

Kata Muhyiddin, melalui perjanjian baru yang akan ditandatangani oleh peneroka dengan Felda bawah inisiatif pelarasan pinjaman bersyarat ini, warga peneroka akan lebih komited dalam memenuhi segala terma yang dipersetujui kelak agar dapat sama-sama memikul tanggungjawab meningkatkan produktiviti, seterusnya menjamin kelestarian Felda.

"Dengan inisiatif ini, bebanan pinjaman yang ditanggung peneroka akan berkurangan sebanyak purata 80 peratus setiap peneroka.

"Purata bayaran balik pinjaman pula dijangka berkurangan daripada sekitar RM800 – RM1000, kepada hanya RM250 – RM300 sebulan bagi peneroka sawit dan serendah RM150 bagi peneroka getah iaitu satu kadar yang sangat munasabah dan mampu dibayar oleh mereka.

"Saya berharap dengan usaha yang diambil oleh kerajaan ini, ia akan menjadi titik tolak atau ‘reset button’ untuk warga peneroka di seluruh negara menjadi lebih bersemangat dan lebih fokus dalam melipatgandakan hasil serta pendapatan mereka," katanya lagi.

Lihat Komen
ADS