Sebahagian besar masyarakat India telah menjadi mangsa dipinggirkan secara sistematik dalam bidang ekonomi dan sosial sejak sebelum merdeka lagi, demikian menurut kajian Institut Strategi dan Kepimpinan Asia (Asli) dalam laporan cadangannya untuk Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK9).

Kajian tersebut yang disediakan Pusat Kajian Dasar Awam, Asli itu mengenai masyarakat India yang berpendapatan rendah, percaya terdapat kekurangannya dasar dan perancangan untuk menangani masalah kemiskinan tegar di kalangan kaum India di bandar dan luarbandar.

Kajian itu juga mengemukakan 12 syor termasuk cadangan menyediakan dana bagi pembangunan projek khusus untuk masyarakat India yang perlu dilaksana dan diawasi dengan betul.

Kajian itu mengakui, kebanyakan syor tersebut bukanlah perkara baru, tetapi menegaskan bahawa kekurangan kekuatan politik dalam melaksanakannya, boleh mengakibatkan rakyat kaum India yang miskin terus merana.

"Hakikat bahawa terdapat kecenderungan perulangan cadangan dan syor-syorkan lama, malangnya mencerminkan tahap peminggiran masyarakat tersebut dan kegagalan jentera pembangunan negara untuk menangani permasalahan dan kekurangan dalam memenuhi keperluan asas masyarakat India yang miskin," kata laporan itu lagi.

Pengagihan tidak samarata

Semakan terhadap RMK9 menunjukkan dasar-dasar mengenai latihan kemahiran, pengambilan lebih ramai bukan bumiputera dan pembangunan usahawan, membuat rujukan khusus kepada masyarakat India.

Bagaimanapun, Asli mengemukakan laporan itu pada bulan Februari tahun ini, sebulan sebelum RMK9 dibentangkan, dan berikutan itu, badan-badan lain mungkin telahpun mengemukakan cadangan yang serupa.

Kajian tersebut memperjelaskan, pelan perspektif yang lalu seperti Dasar Ekonomi Baru dan Rancangan lima tahun Malaysia, memberi penekanan kepada usaha pembasmian kemiskinan tanpa mengira kaum dan penstrukturan semula masyarakat untuk menghapuskan pengenalan kaum berdasarkan ekonomi.

Bagaimanapun, di segi amalannya, wujud dakwaan seperti strategi, dasar dan pengagihan faedahnya lebih menguntungkan masyarakat Melayu.

Katanya, ini berlaku kerana strategi negara telah memberi penekanan kepada usaha mewujudkan sebuah masyarakat industri dan komersial Melayu. Program pembasmian kemiskinan juga lebih kecenderung kepada masyarakat Melayu di luar bandar.

"Walaupun insiden kemiskinan luar bandar masih tinggi dan sebahagian besarnya membabitkan orang Melayu, tetapi golongan minoriti yang kecil jumlahnya semakin terasa terasing, diabai dan terpinggir," kata laporan itu lagi.

Pendapatan isurumah

Menurut perangkaan RMK9, pendapatan isirumah masyarakat India (indeks harga 1999) adalah RM3,215 pada tahun 2004 berbanding RM2,522 bagi bumiputera. Kadar pertumbuhan bagi pendapatan isirumah kaum India bagaimanapun ialah 3.5 peratus antara 1999 hingga 2004 manakala 4.9 peratus bagi bumiputera.

Bagaimanapun, satu lagi set petanda sosial menunjukkan masyarakat tersebut menderita, kata laporan tersebut yang menambah, satu pertiga daripada kaum India tidak memiliki rumah lebih ramai daripada bumiputera dan kaum Cina.

Kajian tersebut memetik statistik yang menunjukkan kejadian bunuh diri lebih tinggi di kalangan masyarakat India. Walaupun mewakili 7.5 peratus daripada 26 juta rakyat Malaysia, tetapi perkadaran lebih tinggi kaum India ditangkap terbabit dalam kes jenayah berat atau aktivit berkaitan dengan kongsi gelap.

Laporan penuh kajian teresebut boleh dilihat di lamanweb pusat tersebut. Berita asal