Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Penduduk Pulau Perhentian 'kelemasan' dek pandemik

TINJAUAN | Kekuatan ekonomi penduduk di Pulau Perhentian, Terengganu, sebelum ini bergantung pada kerancakan sektor pelancongan.

Namun pandemik Covid-19 membuatkan pulau itu 'terkulai' dan 'kelemasan'.

Lebih 2,000 penduduk di Kampung Pulau Perhentian kini hidup dengan 'apa yang ada' selain terpaksa mencari alternatif demi menghasilkan mata pencarian.

Tinjauan Malaysiakini mendapati kawasan peranginan terkenal di mata dunia itu sunyi sepi. Jelas kelihatan bot-bot hanya menjadi hiasan di tepian pantai dan dibiar teroleng-oleng di sekitar jeti.

Suasana yang begitu asing bagi penduduk tempatan yang rata-rata bekerja sebagai pemandu bot, pemandu pelancong, pekerja resort, peniaga dan pelbagai lagi pekerjaan dalam salah satu sektor utama pulau itu.

Bagi pengusaha kedai makan, Nor Asikin Mustafa, 45, berkata, deretan kedai makan di jeti utama kampungnya sebelum ini sentiasa sibuk dengan kehadiran pelancong dari dalam dan luar negara.

Namun baginya, sejak pandemik melanda keadaan itu berubah 180 darjah sekali gus menjejaskan pendapatannya sekeluarga.

"Sekarang saya masih buka kedai, cuma dengan kehadiran orang-orang kampung sajalah.

"Sedikit sebanyak bolehlah menampung keperluan harian. Memang jauh berbeza berbanding sebelum pandemik," katanya ketika ditemui Malaysiakini, hari ini.

Sebagai rekod, aktiviti pelancongan di Pulau Perhentian kebiasaannya aktif pada bulan Mac hingga Oktober, manakala bulan lain aktivitinya terhenti kerana kehadiran musim monsun timur laut.

Bagi pemandu bot pelancong, Nik Muhammad Arifin, 33, aktiviti hariannya kini tertumpu kepada kerja-kerja di kebun apabila sektor pelancongan di pulau itu lumpuh.

Jelasnya, keadaan yang dialami mereka kini diibaratkan sebagai orang yang 'kelemasan' susulan hilang punca pendapatan utama.

"Kebiasaannya, kami bekerja untuk tempoh enam hingga lapan bulan. Pada masa itu kami akan kumpul pendapatan bagi menampung kehidupan ketika musim monsun tiba.

"Pada waktu itu aktiviti di laut dilarang masa sekali kerana keadaan bergelora dan ombak besar. Pelancong juga tidak datang.

Pemandu bot pelancong, Nik Muhammad Arifin

"Jadi pandemik Covid-19 ini begitu mengejutkan, wang simpanan juga sudah habis. Saya rasa kami di sini tidak dapat bertahan lagi jika keadaan ini berterusan hingga ke tahun depan," jelas bapa kepada dua cahaya mata itu.

Sementara itu, Azli Mamat, 45, kini terpaksa mengasah kembali kemahiran membuat bubu bagi mencari pendapatan.

Dia yang bekerja sebagai pemandu bot berkata, inisiatif itu diambil kerana tiada lagi pekerjaan lain yang dapat dilakukan untuk menyara keluarga.

"Sekarang saya kena masuk hutan untuk cari rotan dan kayu untuk buat bubu. Alhamdulillah ada permintaan daripada penduduk apabila mereka juga terpaksa turun menangkap ikan apabila keadaan begini.

"Sehari boleh siap sebuah atau dua buah bubu. Yang mencabarnya nak cari rotan, proses yang keluarkan rotan itu sukar kerana melalui jalan bukit," katanya.

Dalam perkembangan sama, rata-rata penduduk Pulau Perhentian juga menerima pelbagai bantuan berbentuk barangan keperluan harian yang disumbangkan pihak berwajib termasuk badan bukan kerajaan (NGO).

Pemandu bot, Azli Mamat.

Lihat Komen
ADS