Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PM tinjau penyediaan bakul makanan
Diterbitkan:  Jul 15, 2021 5:19 AM
Dikemaskini: 9:19 AM

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini meninjau penyediaan bakul makanan di bawah program Bakul Prihatin Negara, yang melibatkan pengagihan 420,000 bakul bantuan barangan keperluan kepada 1.68 juta penerima yang terkesan akibat pandemik COVID-19.

Berkonsepkan pendekatan masyarakat secara menyeluruh, inisiatif Bakul Prihatin Negara itu melibatkan kerjasama kerajaan dan syarikat korporat dan diselaraskan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM).

Bercakap kepada media selepas meninjau pusat penyimpanan dan agihan Bakul Prihatin Negara itu di Dewan Perdana Nur, KPWKM di Putrajaya, Muhyiddin berkata penyediaan bakul makanan itu melibatkan peruntukan RM5 juta daripada Pejabat Perdana Menteri dan RM16 juta disumbangkan sektor korporat.

"Dalam soal pengurusan kebajikan rakyat ni kita tak boleh berkompromi. Selagi masalah pandemik COVID-19 belum dapat diatasi dan soal ekonomi belum pulih, saya cukup prihatin dan rasa agak bertanggungjawab untuk menentukan kesejahteraan rakyat di negara kita tak kira apa latar belakang mereka, di mana mereka berada, mestilah kita laksanakan dan kita berikan sebaik-baik perhatian untuk membantu mereka," katanya.

Bakul Prihatin Negara itu adalah hasil cetusan idea Muhyiddin sendiri sebagai tindak balas proaktif terhadap senario yang dihadapi rakyat yang terkesan akibat pandemik COVID-19.

Penyampaian bantuan dilaksanakan oleh Sukarelawan Skuad Prihatin Negara di bawah kendalian Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). Setiap bakul makanan bernilai RM50 itu mengandungi beras, gula, tepung gandum, bihun, kicap, sardin, biskut, kopi dan garam.

Muhyiddin berkata setakat ini, tidak termasuk Bakul Prihatin Negara, kerajaan telah menyalurkan sebanyak 2.315 juta bakul makanan melibatkan peruntukan RM173.4 juta yang telah memanfaatkan seramai 9.26 juta orang sejak pelaksanaan Bantuan Bakul Makanan fasa pertama pada Mac tahun lepas.

"Sebahagian besar dari kumpulan-kumpulan sasar yang ada baik M40, B40, atau T20 yang terkesan kerana tak boleh nak berniaga dan berhenti kerja, semua kita sampaikan bantuan," katanya.

Rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan bakul makanan boleh memohon bantuan dengan menghubungi Talian Kasih di 15999, Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah berdekatan tempat tinggal serta merujuk maklumat di media sosial rasmi KPWKM, katanya.

Muhyiddin yang diringi Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Mohd Harun ketika membuat tinjauan itu turut menerima sumbangan RM16 juta dari lima syarikat korporat untuk menjayakan program Bakul Prihatin Negara itu.

Yayasan Petronas yang diwakili Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan Petronas Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz menyampaikan sumbangan dalam bentuk replika cek berjumlah RM5 juta, AEON yang diwakili Ketua Pegawai Eksekutif AEON Group Malaysia Shafie Shamsuddin pula menyampaikan sumbangan RM4 juta.

Pharmaniaga Bhd yang diwakili Pengerusi Datuk Seri Mohammed Shazaili Ramly menyampaikan sumbangan RM3 juta; Tenaga Nasional Bhd (TNB) yang diwakili Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Ir Baharin Din dan Telekom Malaysia Bhd yang diwakili Pengerusi Tan Sri Mohd Bakke Salleh pula masing-masing RM2 juta.

Muhyiddin turut menyerahkan vest Skuad Prihatin Negara kepada dua sukarelawan Ahmad Azri Ahmad, 35, dan Azalina Abdul Rahman, 44.

- Bernama

Lihat Komen
ADS