Persekutuan Pekerja Pengangkutan Antarabangsa (ITF) menggesa syarikat penerbangan tambang murah, AirAsia, supaya membenarkan pekerjanya menubuhkan sebuah kesatuan sekerja.

Ahli Jawatankuasa Pemandu Penerbangan Awam ITF, Mustafar Maarof berkata, sebelum ini pengurusan syarikat penerbangan itu tidak membenarkan kakitangannya menubuhkan kesatuan sekerja.

AirAsia mempunyai kira-kira 1,500 orang pekerja. Semua kesatuan sekerja industri penerbangan menjadi ahli gabungan ITF yang beribu pejabat di London.

Katanya, ITF akan melancarkan kempen tertentu hujung tahun ini jika AirAsia terus tidak membenarkan penubuhan sebuah kesatuan sekerja.

Mustafar berkata, tindakan menghalang penubuhan kesatuan sekerja adalah bertentangan dengan dengan undang-undang.

Katanya, seksyen 5 Akta Pehubungan Perusahaan 1967 menghalang majikan menyekat hak pekerja menyertai atau menubuhkan kesatuan sekerja.

Bela kebajikan pekerja

Mustafar yang juga Setiausaha Eksekutif Kesatuan Sekerja Penerbangan Malaysia (Maseu) berkata, tujuan penubuhan kesatuan sekerja itu adalah untuk membela kebajikan syarikat penerbangan tambang murah tersebut.

Beliau mendakwa kakitangan Air Asia mahu sebuah kesatuan sekerja tetapi mereka dikatakan menghadapi pelbagai tekanan dari pihak pengurusan.

Mustafar berkata, pekerja terbabit mendakwa akan menghadapi pelbagai tindakan, termasuk pembuangan kerja jika mereka menubuhkan kesatuan sekerja.

Katanya, ramai pekerja bahagian kabin AirAsia mengadu mereka diarahkan oleh pengurusan supaya berpindah dari satu stesen ke stesen lain walaupun tidak ada dalam kontrak pekerjaan.

Menurutnya, ada dakwaan bahawa pekerja yang beroperasi di stesen Kuching diarahkan berpindah ke Kota Kinabalu atau sebaliknya dan ini membebankan mereka.

Beliau berkata, penubuhan kesatuan sekerja bagi pesawat tambang murah bukan baru kerana ia telah dilaksana di negara lain termasuk Amerika Syarikat.