172,000 kenderaan baru didaftar dua bulan sebelum perayaan
Bagi industri kereta, ia adalah satu berita baik, tetapi ia mungkin satu berita kurang baik untuk mereka yang bakal pulang menyambut perayaan Deepavali Sabtu ini dan Aidilfitri Selasa depan.
Bagi industri kereta, ia adalah satu berita baik, tetapi ia mungkin satu berita kurang baik untuk mereka yang bakal pulang menyambut perayaan Deepavali Sabtu ini dan Aidilfitri Selasa depan.
Berita tersebut ialah dalam masa dua bulan lalu, jumlah kenderaan baru bertambah 172,000 lagi, daripada 15.5 juta kenderaan sedia, sekaligus bakal menyumbang kepada kesesakan lalulintas.
Kecenderungan membeli kenderaan baru sebelum musim perayaan didorong pelbagai tarikan, termasuk tawaran pembelian tanpa membayar wang pendahuluan dan kadar faedah pinjaman yang rendah.
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Abdul Rauf Jamalis berkata dalam bulan Ogos sahaja, jumlah kenderaan baru yang didaftar telah mencecah 90,741 meningkat 8,685 dibandingkan pada bulan sebelumnya.
Menurut laporan Bernama, jumlah tersebut terdiri daripada 45,094 kereta, 40,164 motosikal dan baki 5,483 bas, teksi, lori dan kenderaan lain.
Promosi habis-habisan
Wilayah Persekutuan mencatatkan jumlah pendaftaran terbanyak 23,423 diikuti Johor (12,871) dan Pulau Pinang (9,400). Perlis mencatat pendaftaran paling sedikit iaitu 351 sahaja.
"Promosi habis-habisan oleh penjual kereta memberi impak kepada pendaftaran kereta seperti ini," kata Abdul Rauf.
Manakala 38,422 kereta didaftar pada bulan Julai, diikuti 38,567 motosikal dan baki 5,067 pendaftaran bas, teksi, lori dan kenderaan lain.
Sehingga Ogos tahun ini, jumlah keseluruhan kenderaan bermotor yang berdaftar di negara ini ialah 15.49 juta berbanding 15.40 juta sehingga Julai.
Ia terdiri daripada 6.8 juta kereta, 7.32 juta motosikal dan baki 1.36 juta terdiri daripada bas, teksi, lori dan kenderaan lain.
Wilayah Persekutuan mempunyai jumlah kenderaan terbanyak iaitu 3.4 juta, diikuti Johor 2.1 juta, Selangor 1.8 juta dan Pulau Pinang 1.6 juta, manakala Perlis mempunyai bilangan kenderaan paling sedikit iaitu 60,690.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.