Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Agensi diarah kumpul nama pemandu e-hailing, penghantar makanan untuk vaksinasi

Agensi-agensi di bawah Kementerian Pengangkutan diarahkan untuk mengumpulkan nama pemandu e-hailing dan penunggang p-hailing di negara ini bagi tujuan vaksinasi, kata Menteri Pengangkutan Dr Wee Ka Siong.

Wee berkata sebagai sebahagian daripada anggota perkhidmatan barisan hadapan, mereka juga perlu diberi keutamaan dalam pemberian vaksin bagi memastikan keselamatan pemandu, penunggang dan pelanggan.

“Satu perjumpaan maya telah diadakan hari ini dengan pihak pengurusan syarikat Grab bagi membincangkan progres pemberian vaksin ke atas pemandu e-hailing dan penunggang p-hailing. Sekitar 100,000 pemandu e-hailing dan 50,000 penunggang p-hailing berkhidmat dengan Grab sekarang.

"Telah diumumkan, proses penjadualan pemberian vaksin bagi pemandu teksi, e-hailing dan penunggang p-hailing sudahpun bermula, dengan kumpulan pertama yang bakal menerima vaksin melibatkan 41,488 pemandu teksi dan e-hailing serta 11,527 penunggang p-hailing,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya, malam ini.

Wee berkata dia memahami sepanjang tempoh pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP), sektor pengangkutan merupakan perkhidmatan perlu yang terus beroperasi 24 jam sehari dalam memastikan kelangsungan hidup rakyat selain juga memastikan pergerakan barangan dan penumpang tidak terjejas.

Dia berkata Kementerian Pengangkutan juga bekerjasama rapat dengan Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) dalam usaha mencapai imuniti kelompok seawal mungkin.

“Saya berharap dengan adanya kerjasama semua pihak, pemandu kenderaan awam di bawah jagaan Kementerian Pengangkutan akan dapat menerima vaksin mereka selewat-lewatnya pada penghujung bulan Ogos nanti,” katanya.

-Bernama

Lihat Komen
ADS