Kes Zakaria dirujuk kepada Umno pusat
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo berkata beliau telah merujuk kepada Umno pusat kes yang membabitkan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pelabuhan Klang, Datuk Zakaria Md Deros yang membina rumah seperti istana tanpa kelulusan Majlis Perbandaran Kelang (MPK).
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo berkata beliau telah merujuk kepada Umno pusat kes yang membabitkan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pelabuhan Klang, Datuk Zakaria Md Deros yang membina rumah seperti istana tanpa kelulusan Majlis Perbandaran Kelang (MPK).
Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor itu berkata, beliau telah menghantar laporan mengenai perkara itu kepada ibu pejabat Umno.
Oleh itu, katanya, terpulanglah kepada pihak parti untuk menentu tindakan terhadap kedudukan Zakaria sebagai Ketua Umno Klang dan Adun Pelabuhan Klang.
Zakaria telah mencetuskan kontroversi apabila beliau membina rumah seperti sebuah istana di kawasan rumah kos rendah di Kampung Idaman, Pandamaran, tanpa kelulusan MPK dan kelulusan pelan binaan.
Rumah setinggi empat tingkat berharga RM5 juta itu dibina di atas tanah kurnia milik isteri Zakaria iaitu Zizah Ngah.
BPR boleh siasat
Bercakap dalam sidang akhbar selepas mesyuarat Exco Kerajaan Negeri di Shah Alam hari ini, Mohd Khir berkata MPK telah mengenakan denda sebanyak RM24,000 terhadap Zakaria kerana melanggar Seksyen 70 (1) Akta Parit, Jalan dan Bangunan 1974.
Jumlah denda tersebut, tegas Menteri Besar, adalah denda maksima atau sepuluh kali ganda daripada bayaran sebanyak RM2,400 yang sepatut dibayar untuk mendapat kelulusan pelan daripada MPK.
Selain itu, kata Mohd Khir, beliau juga mengalu-alukan siasatan Badan Pencegah Rasuah (BPR) jika terdapat aduan dibuat berhubung kes tersebut.
Menteri Besar berkata, beliau telah berjumpa dengan Zakaria serta menasihatkan beliau supaya menunjukkan teladan yang baik selaku seorang wakil rakyat.
Katanya, selaku Menteri Besar, beliau bertanggungjawab untuk menegakkan undang-undang.
"Kita tidak boleh bertoleransi dengan orang yang melanggar peraturan kerana ia menjejaskan imej kerajaan," katanya.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.