Most Read
Most Commented
Read more like this
mk-logo
News
Malaysiakini lancar seksyen video dalam bahasa Tamil
Published:  Oct 18, 2006 9:02 PM
Updated: Jan 29, 2008 10:21 AM

Malaysiakini hari ini melancarkan seksyen video dalam bahasa Tamil, dengan video penyiaran pertamanya mengenai aduan para peniaga kaum India berhubung peruntukan gerai jualan sempena perayaan Deepavali di Kuala Lumpur.

Episod selama 10 minit itu yang bertajuk 'Peruntukan gerai untuk peniaga India cerita sebenaranya' boleh disaksikan di malaysiakini.tv.

Video tersebut menandakan 'langkah seterusnya' malaysiakini dalam menyediakan kandungan berita dalam bahasa Tamil dalam bentuk video.

"Berdasarkan kepada maklumbalas, lebih ramai yang memahami bahasa Tamil melalui pertuturan dan bukannya dalam bentuk tulisan," kata Ketua Pegawai Eksekutif malaysiakini , Premesh Chandran.

Malaysiakini.tv seksyen Tamil akan menyiakarkan berita serta wawancara dengan personaliti popular. "Kami masih di peringkat awal, tetapi kami berharap dapat menyediakan program tetap pada awal tahun ini."

Memandangkan ramai yang mungkin tidak mempunyai akses internet, maka malaysiakini juga merancang untuk menyediakan kandungannya dalam bentuk VCD cakera digital).

"Video merupakan format yang popular. Sebahagian besar surirumah, malah mereka dari kumpulan berpendapat rendah pun, memiliki peti televisyen dan pemain VCD. Kami berharap dapat bekerjasama dengan pihak pengedar untuk menyediakannya," tambahnya.

Projek peringkat perintis ini dilaksanakan dengan bantuan yayasan dari Jerman, Friedrich Naumann Foundation (FNF).

FNF terbabit dalam beberapa projek di Malaysia, termasuk sebuah projek membantu golongan wanita yang kurang bernasib baik dalam sektor perladangan, bersama dengan pertubuhan bukan kerajaan, Era Consumer.

Pengarah Projek FNF Malaysia, Rainer Heufers berkata, projek perintis ini akan dapat membantu meningkatkan lagi usahanya di negara ini.

"Ia akan menyokong kerja-kerja yang telah kita laksanakan bersama dengan wanita kaum India, yang memfokuskan kepada usaha memberdayakan mereka melalui peningkatan pendapatan, sokongan untuk keluarga dan masyakakat serta memperbaiki keadaan mental dan kesihatan serta sokongan perundangan," tambahnya.

Malaysia tulen

Projek video dalam bahasa Tamil akan dikendalikan oleh K Indra dan W Ubaraj.

Dengan pelancaran seksyen video Tamil itu, malaysiakinikini menawarkan kandungannya dalam empat bahasa utama Bahasa Inggeris, Bahasa Malaysia, Cina dan Tamil.

Malaysiakini dilancarkan dalam bahasa Inggeris pada 1999. Ini diikuti dengan pelancaran lamanwebnya dalam Bahasa Malaysia pada 2004, dan lamanweb bahasa Cina tahun lau, menjadikannya pertubuhan media pertama yang menyajikan berita dalam tiga bahasa.

" Kami mahu m alaysiakini menjadi lamanweb yang 'benar-benar Malaysia' yang mencerminkan kepelbagaiannya. Oleh itu, kami mahu memastikan semua masyarakat Malaysia mempunyai akses kepada berita independen," kata Ketua Pengarang malaysiakini , Steven Gan.

"Selain tambahan seksyen bahasa Tamil, kami juga merancang untuk menyediakan kandungan dalam bahasa-bahasa rakyat Malaysia yang lain, terutama masyarakat di Sabah dan Sarawak," katanya.

"Bagaimanapun, ini bergantung kepada bagaimana kita boleh mewujudkan perkongsian yang berkesan dengan para wartawan dan penerbit yang fasih dalam bahasa-bahasa ini," tegasnya. Berita asal


Please join the Malaysiakini WhatsApp Channel to get the latest news and views that matter.

ADS