Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
CAAM siasat helikopter mendarat ambil 'nasi ganja Ipoh'

Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) memulakan siasatan segera bagi menentukan sama ada terdapat pelanggaran peraturan berhubung isu sebuah helikopter mendarat bagi mengambil bungkusan nasi ganja di Padang Ipoh, di Ipoh semalam.

CAAM dalam satu kenyataan hari ini berkata siasatan menjurus kepada sama ada helikopter Bell 505 yang dikendalikan Systematic Aviation Services Sdn. Bhd. (SAS) itu melanggar sebarang peraturan seperti yang tertakluk dalam Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam Malaysia 2016 dan Civil Aviation Directives (CADs).

“CAAM juga akan membuat semakan sama ada pengendali dan kru pengendali helikopter terlibat melaksanakan operasi penerbangan itu dalam skop yang diluluskan atau sebaliknya,” katanya dalam kenyataan di Ipoh.

Menurut kenyataan itu, helikopter berkenaan mendarat di padang Majlis Bandaraya Ipoh pada pukul 10 pagi semalam, dan siasatan awal mendapati helikopter tersebut berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang ke Ipoh pada pukul 9.08 pagi dan kembali ke Subang pada pukul 11:02 pagi, seperti yang difailkan dalam pelan penerbangan.

Dalam pada itu, CAAM turut menegaskan bahawa semua pengendali pesawat harus mematuhi peraturan umum seperti tertakluk dalam CAD 2 (Rules of the Air), Chapter 3.1. Protection of Persons and Property serta peraturan-peraturan lain yang berkaitan.

“CAAM akan terus memastikan semua pengendali pesawat mematuhi peraturan dan piawaian keselamatan yang telah ditetapkan demi keselamatan industri dan orang awam,” katanya.

Semalam, helikopter berkenaan mendarat di Padang Ipoh di Ipoh , dipercayai untuk mengambil pesanan 36 bungkus nasi ganja yang ditempah pelanggan dari Kuala Lumpur di sebuah kedai menjual nasi kandar terkemuka di bandar raya itu.

Ketua Polis Perak Datuk Mior Faridalathrash Wahid yang mengesahkan kejadian itu berkata siasatan terhadap individu serta syarikat pemilik helikopter terbabit dibuat mengikut Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPPPB) 2020 atau Akta 342 kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) larangan merentas daerah serta negeri.

- Bernama

Lihat Komen
ADS