Sin Chew Media Corporation tidak akan menguasai kumpulan akhbar Nanyang walaupun kedua-duanya kini dikuasai oleh jutawaan Tiong Hiew King.

Nanyang mengalami kerugian RM6.3 juta pada tahun kewangan yang berakhir pada 30 Jun 2006.

Pengarah Urusan Sin Chew, Liew Chen Chuan berkata kedua-dua akhbar tersebut akan kekal sebagai 'dua produk berbeza dan bersaing di bawah bos yang sama'.

Liew mempertahankan keputusan Tiong untuk membeli Nanyang dengan menegaskan bahawa ia adalah 'satu saingan komersial' dan bukannya satu 'monopoli media'.

Bagaimanapun, katanya, Tiong akan membenarkan Sin Chew dan Nanyang bersaing antara sama sama lain secara sihat, tetapi tidak boleh mengkritik satu sama lain.

Sementara itu, dalam satu taklimat syarikat semalam, Pengarah Urusan Nanyang Press Holding, Gan Chin Kew berkata, tiada siapa yang sanggup menyelamatkan Nanyang, kecuali Tiong yang menawarkan harga tertinggi RM4.20 sesaham.

Bagaimanapun, beliau percaya, Tiong kemungkinan besar tidak akan menyuntik dana ke dalam Nanyang dan Nanyang juga mungkin tidak akan digabungdengan Sin Chew.

Faktor utama

Keadaan kewangan Nanyang tidak begitu baik sejak kebelakangan ini. Ia mengalami kerugian RM6.3 juta pada tahun kewangan yang berakhir pada 30 Jun 2006. Ia juga merupakan pertamakali Nanyang mengalami kerugian selepas diambil alih oleh MCA.

Kerugian berterusan yang dialami oleh Nanyang dikatakan menjadi faktor utama MCA memutuskan untuk menjual sahamnya. Parti itu juga mahu melepaskan Nanyang kerana akhbar itu terjejas apabila dikuasi oleh parti politik.

Gan juga menafikan akan wujud monopoli media berbahasa Cina di Malaysia, dengan menegaskan bahawa sebarang bentuk monopoli mustahil wujud dalam era maklumat sekarang.

Dalam satu kenyataan semalam, beliau menegaskan bahawa selepas penjualan saham MCA itu, Nanyang akan terus menjadi sebuah institusi media yang independen.

Beliau yakin, pengalaman luas Tiong dalam bidang perniagaan media akan membawa Nanyang ke era baru dalam industria media berbahasa Cina di Malaysia.

MCA menguasai Kumpulan Nanyang lima tahun lalu yang mengakibatkan berlakunya perpecahan dalam parti itu. Masyarakat Cina juga mengecam parti itu kerana menguasai Nanyang sewaktu MCA dipimpin oleh Tun Dr Ling Liong Sik.

Selain itu, pembelian saham Nanyang itu juga mengakibatkan parti itu menghadapi kerugian kewangan.

Saham Tiong 44.76 peratus

Selasa lalu, dalam satu sesi tertutup, Bendahari MCA, Lau Yin Pin, yangjuga Pengerusi syarikat pelaburan parti itu, Huaren Holdings, dilaporkan berkata, sejak lima tahun lalu, Huaren terpaksa membayar faedah sebanyak RM58 juta bagi pinjaman RM383 juta yang diperolehi pada 2001 untuk membeli Nanyang.

Lau juga mendedahkan bahawa Huaren masih berhutang RM140 juta.

Presiden MCA, Datuk Seri Ong Ka Ting yang hadir di sesi taklimat tersebut, turut menjelaskan isu-isu lain yang berkaitan dengan parti dan masyarakat Cina.

Dalam mesyuarat jawatankuasa pusatnya, sebelum taklimat itu diadakan, beliau berkata, MCA telah memutuskan untuk menjual 21.02 peratus daripada 44.4 peratus pegangan sahamnya dalam Nanyang Press Holdings kepada Ezywood syarikat milik Tiong yang merupakan jutawan balak dari Sarawak.

Huaren membeli 44.4 peratus saham Nanyang Press Holdings pada 2001, yang turut memilik dua akhbar harian utama berbahasa Cina Nanyang Siang Pau dan China Press .

Penjualan tersebut telah meningkatkan pegangan Tiong dalam Nanyang daripada 23.74 peratus kepada 44.76 peratus. Beliau kini memiliki Sin Chew Media Corporation Bhd, yang menerbitkan dua akhbar utama berbahasa Cina Sin Chew Daily dan Guangming Daily. Berita asal