Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mahu mahkamah menyegerakan perbicaraan dan hukuman terhadap pemandu yang menyebabkan kemalangan jalanraya.

Katanya, jika dilambat-lambatkan, ia tidak akan memberikan kesan terhadap mereka dan membantutkan usaha kerajaan mengurangkan jumlah kemalangan jalanraya, khususnya di musim perayaan.

"Yang kita kena buat ialah apabila berlaku kemalangan, selepas dipastikan kesalahan yang dilakukan syarikat bas, teksi, lori dan individu, ialah mempercepatkan proses penguatkuasaan undang-undang.

"Hukuman mesti dipercepatkan, kalau lambat, orang yang buat salah itu tidak akan rasa apa-apa, tapi kalau tindakan diambil cepat dan dihukum dengan cepat, barulah dia akan terasa," katanya selepas menyampaikan sumbangan hari raya kepada penduduk kawasan Dewan Undangan Negeri Penaga di Kepala Batas hari ini.

Menurut Bernama, Perdana Menteri berkata, proses perbicaraan dan keputusan mahkamah juga perlu disegerakan bagi kes-kes kemalangan terutamanya ketika musim perayaan penting.

'Saya kecewa'

Sambil melahirkan perasaan kecewa dan marah terhadap kemalangan jalanraya yang menyebabkan 18 kematian pada hari pertama Ops Sikap XI kelmarin, Perdana Menteri berkata, kemalangan yang menyebabkan maut seperti itu tidak sepatutnya berlaku di negara ini.

Abdullah berkata beliau sendiri tidak tahu mengapa kemalangan yang banyak berlaku di negara ini tetapi yang pasti ia berpunca daripada pemandu kenderaan sendiri.

"Saya kecewa, marah dan tak seronok... kesemuanya. Negeri lain, negeri maju kereta lagi banyak tapi kemalangan tidak sebanyak yang berlaku di negara ini," katanya.

Beliau berkata, negara-negara lain juga menyambut perayaan seperti Krismas dan Tahun Baru tetapi kemalangan yang melibatkan pemandu di negara berkenaan tidak sebanyak yang berlaku di negara ini semasa musim-musim perayaan.

"Masa Krismas atau perayaan Tahun Baru, setahu saya, tidak berlaku macam di negara kita, padahal mereka mempunyai lagi banyak kereta kerana mereka mempunyai penduduk yang ramai tetapi mengapa kita yang jadi begitu malang? Puncanya ialah pemandu kenderaan," katanya.