Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
story images

Kumpulan doktor kontrak di hospital-hospital kerajaan mengadakan protes di seluruh negara pagi ini bagi menuntut jaminan pekerjaan dan peluang kerjaya yang lebih baik.

Difahamkan, kumpulan doktor terbabit mengadakan protes meskipun menerima tekanan daripada pihak atasan yang mengancam akan mengambil tindakan tatatertib terhadap mereka yang menyertai 'Hartal Doktor Kontrak' (HDK).

Ramai daripada mereka membawa plakad dan poster dengan mula meninggalkan hospital masing-masing secara serentak pada jam 11 ​​pagi ini.

Antara lokasi berkenaan termasuk Hospital Kuala Lumpur, Hospital Sungai Buloh, Hospital Tengku Ampuan Rahimah di Klang, dan pusat kuarantin Covid-19 di Maeps, Serdang.

Malaysiakini menganggarkan hampir 100 doktor kontrak menyertai protes itu di Hospital Sungai Buloh, kira-kira 50 orang di Hospital Kuala Lumpur dan sekitar 30 orang di Hospital Shah Alam.

Sementara itu di Hospital Putrajaya, doktor terkemuka, Dr Rafidah Abdullah dan hampir 40 pegawai perubatan dari jabatan Nefrologi menyertai protes itu.

Menurut pihak penganjur, doktor-doktor kontrak di hospital di negeri lain seperti Kedah, Kelantan, Perak, Perlis dan Negeri Sembilan juga mengadakan protes serupa.

Protes di MAEPS dibatalkan

Namun, protes di pusat kuarantin Covid-19 di Maeps, Serdang dibatalkan berikutan ancaman penahanan oleh pihak polis.

Petugas media diberitahu hanya Jabatan Penerangan Negeri Selangor yang dibenarkan "membuat liputan" acara tersebut. Malah media rasmi seperti RTM dan Bernama juga dilarang membuat liputan.

Pegawai perubatan yang dilantik secara kontrak sebelum ini mendesak kerajaan memberi jaminan pekerjaan dan prospek kerjaya yang lebih baik kepada mereka.

Doktor kontrak junior juga menghadapi risiko kehilangan kerja setelah tamat tempoh lima tahun latihan mereka di hospital kerajaan.

HDK memaklumkan doktor kontrak juga tidak tertakluk untuk menerima faedah seperti yang diperolehi rakan sekerja mereka yang dilantik ke jawatan tetap, termasuk peluang memperkembangkan kerjaya dalam bidang pengkhususan.

Pada Jumaat lalu, kerajaan menawarkan lanjutan kontrak kepada doktor kontrak sehingga empat tahun.

Namun Perdana Menteri memberi jaminan akan memastikan mereka menerima faedah yang serupa dengan doktor tetap.

HDK menyifatkan jaminan itu sebagai "setengah masak" dan berikrar meneruskan rancangan mereka untuk mengadakan protes hari ini.

Semalam, Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah meminta doktor kontrak tidak menyertai protes hari ini dengan mengingatkan mereka akan sumpah jawatan.

Di Hospital Kuala Lumpur, seorang jurucakap HDK yang dikenali sebagai Dr Muhammad berkata, mereka tidak berniat mengadakan demontrasi sebaliknya hanya meminta doktor kontrak diserap ke jawatan tetap.

"Kami ingin diberi peluang melanjutkan pengajian dan diserap sebagai kakitangan tetap.

"Ramai di antara kami terlibat dalam memerangi pandemik Covid-19 sejak awal tahun lalu dan sekarang hampir 150 kakitangan meletakkan jawatan kerana mulai bosan dengan sistem yang ada," katanya kepada Malaysiakini.

Dia berkata, doktor kontrak meminta kerajaan membantu dan mendengar rintihan mereka.

"Tuntutan kami belum dipenuhi, meskipun ada beberapa persetujuan. Tidak ada perincian dari Kementerian Kesihatan dan perdana menteri, jadi kami masih tunggu respons rasmi dari kerajaan" tambahnya.

Laporan tambahan oleh Alyaa Alhadjri, Mukhriz Hazim and Daniel

[Berita penuh menyusul]

Lihat Komen
ADS