mk-logo
Berita
Cuepacs harap k'jaan tak ambil tindakan tatatertib pada doktor hartal
Diterbitkan:  Jul 26, 2021 4:57 PM
Dikemaskini: 8:57 AM

Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) berkata kesatuan itu menghormati suara yang dibawa oleh kumpulan pegawai perubatan kontrak walaupun tidak bersetuju dengan Hartal Doktor Kontrak hari ini.

Pun begitu Presiden Cuepacs Adnan Mat berharap kerajaan tidak mengambil tindakan tatatertib kepada petugas barisan hadapan yang terlibat.

Katanya, ini kerana doktor kontrak berkenaan hanya mahu permasalahan mereka didengari dan diselesaikan oleh kerajaan.

"Cuepacs berharap kerajaan atau pihak berkuasa tidak mengambil sebarang tindakan daripada sudut perundangan mahupun tindakan tatatertib yang boleh memberi kesan kepada perkhidmatan pegawai perubatan kontrak ini.

"Cuepacs difahamkan tindakan 'demonstrasi' tersebut tidak menjejaskan operasi perkhidmatan kesihatan di fasiliti kesihatan masing-masing kerana ia hanya melibatkan mereka yang sedang rehat dan sedang bercuti.

"Berilah mereka peluang yang sewajarnya memandangkan perkhidmatan mereka ketika ini amat diperlukan oleh negara yang sedang menghadapi pandemik Covid-19," katanya pada satu kenyataan hari ini.'

Adnan (gambar, atas) juga menggesa kerajaan memberikan satu tempoh masa yang jelas terhadap usaha yang dilakukan untuk menangani tuntutan doktor kontrak melalui Kementerian Kesihatan.

"Dalam masa yang sama Cuepacs berharap kerajaan dapat menyelesaikan segera permasalahan yang dihadapi oleh pegawai perubatan kontrak ini berhubung penempatan mereka khususnya dari aspek keseluruhan sistem dan struktur bidang kesihatan negara," katanya lagi.

Ratusan doktor kontrak di seluruh negara hari ini menyertai tindakan perusahaan hartal atau mogok kerja, antaranya bagi menuntut penyerapan ke jawatan tetap.

Jumaat lalu, kerajaan menawarkan lanjutan kontrak kepada doktor kontrak sehingga empat tahun dan memberi jaminan faedah yang serupa dengan doktor tetap.

Kumpulan itu bagaimanapun menyifatkan jaminan itu sebagai "setengah masak".

Lihat Komen
ADS