Pertemuan antara Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dengan Tun Dr Mahathir Mohamad bukan hanya dinantikan oleh rakyat negara ini, tetapi juga masyarakat antarabangsa yang berminat dengan apa yang terjadi di Malaysia, kata bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Musa Hitam.

Beliau juga yakin pertemuan empat mata antara Perdana Menteri dan bekas Perdana Menteri akan memberi impak positif kepada masyarakat dan negara keseluruhannya.

"Saya fikir ini satu perkara yang baik, lebih-lebih lagi dalam bulan Ramadan dan dekat Hari Raya. Diharapkan pertemuan ini akan menenangkan keadaan di seluruh negara bahkan seluruh dunia, yang berminat dengan apa yang terjadi di Malaysia, menunggunya dengan harapan yang begitu tinggi.

"Dengan semangat Ramadan dan keikhlasan kedua pihak ini, insya-Allah saya kira (kesepakatan) akan tercapai, dan dalam suasana begini, hasilnya tentulah positif," katanya mengulas pertemuan Abdullah dan Dr Mahathir yang dijangka diadakan sebelum Aidilfitri minggu depan.

Menurut laporan Bernama, beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis pelancaran lamanweb Rangkaikerja Peniagawati Dunia Islam (WIBN) dan Yayasan Forum Ekonomi Dunia Islam (WIEF) di Kuala Lumpur hari ini.

Pertemuan kedua-dua tokoh itu dibuat hasil cadangan Majlis Bekas Wakil Rakyat (Mubarak) bagi meredakan ketegangan hubungan antara mereka.

Cara terbaik

Mengenai keputusan Abdullah untuk mengadakan pertemuan itu secara tertutup, tanpa kehadiran pihak ketiga, Musa berkata, ia merupakan cara terbaik bagi membolehkan Abdullah dan Dr Mahathir meluahkan pemikiran dan pandangan masing-masing.

"Pertemuan empat mata cara terbaik...Kalau ada orang lain ada kemungkinan orang kata itu...ini. Perlu hati-hati dengan orang luar kerana khuatir kalau ada orang luar mungkin akan timbul pelbagai spekulasi. Tapi saya fikir impak psikologinya akan merupakan impak positif," katanya.

Musa berkata, beliau juga yakin kedua-dua tokoh tidak mahu hasil yang buruk daripada pertemuan itu dan yakin mereka bersedia menjalinkan semangat silaturrahim yang baik seperti mana semangat semasa mereka berganding sebagai Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri sebelum ini.

Sebelum itu Musa yang juga Pengerusi WIEF menyempurnakan majlis pelancaran laman web WIBN dan WIEF bersama-sama Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil. Hadir sama Pengerusi WIBN Datuk Dr Norraesah Mohamad.

WIEF yang ditubuhkan Mac lalu, merupakan organisasi tidak berasaskan keuntungan bertanggungjawab untuk menganjur dan menguruskan forum dan program-program yang bersesuaian bertujuan meningkatkan kerjasama antara para usahawan Islam dan dialog antara masyarakat Islam dan bukan Islam untuk kebaikan manusia sejagat.

WIBN pula membuka ruang kepada usahawan wanita Islam di seluruh dunia untuk berinteraksi dan membina jaringan keusahawanan.

Sikap rendah diri

Sementara itu di Kuantan, Menteri Besar Datuk Seri Adnan Yaakob berkata, kesediaan Abdullah dan Dr Mahathir untuk mengadakan pertemuan menggambarkan keikhlasan dan sikap rendah diri kedua-dua tokoh berkenaan.

Beliau berkata, detik pertemuan tersebut merupakan suatu yang dinanti-nantikan bukan sahaja oleh ahli Umno dan orang Melayu malah oleh seluruh rakyat tanpa mengira kaum.

"Saya dari awal sudah menjangkakan perkara ini boleh diselesaikan dan ia akan berlaku tetapi kita tak boleh cakap sebab kita tokoh kecil sahaja...dalam sejarah Umno dan negara sekalipun tiada masalah yang tidak boleh diselesaikan.

"Tentang kritikan Tun terhadap kerajaan yang timbul sejak bulan enam, tujuh, lapan, sembilan...insya-Allah empat bulan itu, selesai," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan wang tunai RM200 tiap seorang kepada 524 warga emas, orang kurang upaya (OKU), ibu tunggal, mualaf dan pelajar orang Asli daripada Yayasan Pahang hari ini.

Adnan berkata, beliau sangat menghormati dan `angkat tabik' di atas sikap rendah diri kedua-dua tokoh terbabit yang perlu dicontohi semua pihak.

Beliau berkata, pertemuan tersebut diharap akan membuahkan hasil yang baik dalam meredakan ketegangan hubungan antara kedua-dua pihak.