Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Polis siasat portal berhubung laporan penularan Covid-19 di PPV
Diterbitkan:  Jul 27, 2021 8:27 AM
Dikemaskini: 12:27 AM

Polis sedang menyiasat portal berita kesihatan, CodeBlue berhubung laporan mengenai penularan wabak Covid-19 di pusat pemberian vaksin (PPV) di Setia City Convention Center Shah Alam.

Laporan itu, yang memetik sumber mendakwa pihak berkuasa gagal bertindak dengan sewajarnya setelah kes Covid-19 dikesan di situ.

Polis semalam menyoal Ketua Pengarang CodeBlue, Boo Su Lyn di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam.

Portal itu, dalam satu kenyataan, memaklumkan dia disiasat di bawah Seksyen 505 Kanun Keseksaan berhubung penyebaran berita yang boleh menimbulkan ketakutan kegentaran kepada awam.

Dia juga disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia yang berkaitan penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.

Portal itu mengatakan pihaknya difahamkan laporan dibuat oleh pihak pengurusan PPV.

"Boo bekerjasama dengan polis tetapi menolak permintaan untuk menyebut sumber laporannya," katanya.

Portal itu mengatakan laporan itu ditulis atas sebab kepentingan awam.

"CodeBlue mengecam gangguan dan intimidasi terhadap ketua editor kami, yang hanya melaporkan kebimbangan keselamatan di tempat kerja oleh sukarelawan PPV yang telah mengorbankan masa dan meletakkan diri dalam risiko untuk berkhidmat kepada negara dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

"Kerajaan tidak boleh menyasarkan pemberi maklumat yang memberikan maklumat tepat seperti yang disahkan oleh CITF (Badan Bertindak Imunisasi Covid-19).

"Sebaliknya, ia harus mengambil pengajaran dan meningkatkan pelaksanaan langkah keselamatan yang diperlukan," katanya.

CITF pada 19 Julai lalu mengakui penularan wabak di PPV berkenaan tetapi menafikan cubaan menyembunyikan kes penularan.

Lihat Komen
ADS