Keputusan kerajaan untuk membebaskan 11 tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) semalam, dialu-alukan oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Amnesty International Malaysia, tetapi menegaskan akta tersebut perlu dimansuhkan segera.

Ketua Penerangan PKR, Tian Chua berkata, walaupun 11 tahanan terbabit telahpun dibebaskan tetapi hakikatnya ialah mereka telah terpaksa menjalani 'hukuman' di bawah akta keselamatan tersebut.

"(Nasib tahanan terbabit) seolah-olah bergantung kepada ehsan kerajaan dan pemimpin politik," kata Chua dalam satu kenyataan.

"Tahanan ISA telah dinafikan hak mereka untuk membela diri di mahkamah terbuka," kata Chua yang juga pernah ditahan di bawah ISA.

Chua, bersama lima lagi pemimpin reformasi, telah ditahan tanpa bicara selama dua tahun, mulai bulan April 2001 kerana didakwa merancang untuk menjatuhkan kerajaan secara militan. Mereka bagaimanapun menafikan dakwaan tersebut.

Beliau dibebaskan pada tahun 2003 selepas tamat tempoh tahanan dua tahun.

Melanggar hak asasi manusia

Sementara itu, Amnesty International Malaysia berkata, ia sudah lama menggesa supaya dimansuhkan ISA kerana ia menganiayai para tahanan.

"Walaupun kami mengalu-alukan pembebasan mereka, tetapi ia mesti ditekankan bahawa sebarang tahanan di bawah ISA adalah tidak sah keran ia melanggar standard asas hak asasi manusia.

"Sebelas orang ini telah menghabis masa bertahun-tahun dalam tahanan dan dipisahkan daripada keluarga mereka tanpa dibicarakan di mahkamah," kata Pengarah Eksekutifnya, Josef Roy Benedict dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau juga menyifatkan akta keselamatan itu sebagai satu 'contoh malang' bagaimana sesebuah negara menggunakan keselamatan untuk menekan hak asasi manusia.

Sejumlah 11 tahanan, termasuk Nik Adli anak Menteri Besar Kelantan yang juga Mursyidur Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat dibebaskan semalam.

Nik Adli, 38, seorang guru agama, ditahan pada Ogos 2001 kerana didakwa terbabit dengan Kumpulan Militan Malaysia (KMM).

Sepuluh orang lagi, termasuk lima anggota KMM dan empat orang yang didakwa terbabit dengan rangkaian keganasan Jemaah Islamiah (JI) yang dikaitkan dengan al-Qaeda.

Enam orang lagi tahanan yang disyaki anggota JI telah dipindahkan dari Kem Tahanan Kemunting di Taiping dan sedang ditahan di Pusat Reman Polis di Kuala Lumpur.

Mereka dijangka dibebaskan tidak lama lagi. Berita asal