Tempat khas untuk Dr M di perhimpunan agung Umno
Bekas Presiden Umno, Tun Dr Mahathir Mohamad akan disediakan tempat khas di barisan hadapan dan tengah Dewan Merdeka, PWTC, tempat akan berlangsungnya perhimpunan agung Umno November ini.
Bekas Presiden Umno, Tun Dr Mahathir Mohamad akan disediakan tempat khas di barisan hadapan dan tengah Dewan Merdeka, PWTC, tempat akan berlangsungnya perhimpunan agung Umno November ini.
Setiausaha Kerja Umno Datuk Husainay Hashim berkata, bekas Perdana Menteri itu akan dijemput menghadiri Perhimpunan Agung Umno 2006 yang bermula 13 November depan.
Katanya, jemputan daripada Setiausaha Agung parti, Datuk Seri Mohd Radzi Sheikh Ahmad, sedang dihantar kepada Dr Mahathir serta ahli veteran Umno lain.
"Kita menjemput Tun (Dr Mahathir) dan juga veteran Umno lain untuk menghadiri perhimpunan agung itu. Kalau tidak sampai (kad jemputan) sekarang, pada bila-bila masa tibalah," katanya kepada pemberita di sini.
Menurut laporan Bernama, beliau berkata, persediaan bagi perhimpunan agung itu berjalan lancar dan pihak ibu pejabat kini sibuk membuat persiapan terakhir bagi menerima para perwakilan dan jemputan khas kelak.
Sementara itu, ketika bercakap kepada pemberita pada satu majlis di Jitra semalam, Dr Mahathir berkata beliau akan hadir ke perhimpunan agung itu jika dijemput.
Sebelum ini Dr Mahathir gagal terpilih sebagai perwakilan bahagian Kubang Pasu ke perhimpunan agung Umno tersebut.
Beliau memperolehi 227 undi ditangga kesembilan. Setiap bahagian menghantar 13 perwakilan tujuh dipilih dalam mesyuarat bahagian manakala enam lagi terdiri daripada pemegang jawatan penting bahagian.

