Kesalahan seperti yang didakwa dilakukan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pelabuhan Klang, Datuk Zakaria Mohamed Deros boleh membangkitkan kemarahan rakyat, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini.

Secara prinsipnya, tegas beliau, Zakaria sebagai seorang ahli Majlis Perbandaran Klang (MPK) perlu mematuhi undang-undang kerana kegagalan mereka berbuat demikian boleh menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan rakyat.

Abdullah mengulas tindakan Zakaria membina rumah mewah empat tingkat di Kampung Idaman, Pandamaran tanpa kelulusan MPK dan janji kerajaan negeri mengenakan tindakan maksimum terhadap Zakaria kerana dikatakan telah melakukan kesalahan serius bertentangan dengan peraturan MPK.

Menurut laporan Bernama, Perdana Menteri berkata, beliau menyerahkan kepada Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo untuk mengambil tindakan mengikut peruntukan undang-undang yang sedia ada , setimpal dengan kesalahan yang dilakukan oleh Zakaria (foto).

"Menteri Besar maklumkan kepada saya tindakan yang akan diambil dan akan bercakap mengenai perkara itu kepada Zakaria. Jadi saya serahkan kepada beliau untuk ambil tindakan.

"Pandangan masyarakat memang tak elok, sebab kita daripada parti yang memerintah yang berjawatan tentulah tidak elok (berbuat demikian). Kalau nak buat (rumah), minta kelulusan...kalau tidak ada kelulusan, rakyat tidak seronok... marah melihat kejadian seperti ini berlaku," katanya.

Tidak babitkan parti

Ditanya sama ada Umno akan mengenakan tindakan terhadap Zakaria yang juga Ketua Umno Bahagian Klang, Abdullah berkata, kesalahan itu tidak melibatkan parti, sebaliknya ia membabitkan undang-undang kerajaan.

Mengenai pelantikan Zakaria, anak lelakinya Zainuri (foto) dan menantu perempuannya sebagai anggota MPK, beliau berkata, pelantikan anggota keluarga sebagai ahli majlis tidak mendatangkan kesalahan, asalkan mereka tidak terlibat dalam proses membuat keputusan yang ada hubung kait dengan keluarga.

"Pelantikan ahli majlis biasanya diserahkan kepada majlis dan kerajaan negeri yang akan menentukan. Kalau mereka (dari satu keluarga) ada kelayakan yang tertentu, yang membolehkan mereka berkhidmat, tiada salahnya mereka dilantik.

"Tapi janganlah melibatkan keputusan-keputusan yang ada hubung kait dengan keluarga," tegas beliau.

Abdullah berkata, Mohamed Khir memaklumkan bahawa keputusan melantik semula Zakaria sebagai anggota majlis MPK bersama anak lelakinya, Zainuri yang juga Ketua Pemuda Umno Klang dan menantunya yang juga Ketua Puteri Umno Bahagian Klang, Roselinda Abdul Jamil adalah kerana mereka layak untuk memegang jawatan itu.

Ditanya mengenai pertemuan beliau dengan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sama ada akan dipercepatkan atau tidak sebelum Hari Raya Aidilfitri, Abdullah berkata tarikh itu akan diputuskan kelak.

"Itu antara saya dengan dia... bila diputuskan, itulah tarikhnya. Tunggulah," katanya.