Lim Ah Lek dakwa Ling cuba akhbar The Star
Bekas timbalan presiden MCA Tan Sri Lim Ah Lek mendakwa, bekas presiden parti itu, Tun Dr Ling Liong Sik cuba menjual kepentingan Huaren Holdings Berhad dalam The Star Publication pada 1989 bagi membebaskan syarikat itu daripada menanggung bebanan hutang besar.
Bekas timbalan presiden MCA Tan Sri Lim Ah Lek mendakwa, bekas presiden parti itu, Tun Dr Ling Liong Sik cuba menjual kepentingan Huaren Holdings Berhad dalam The Star Publication pada 1989 bagi membebaskan syarikat itu daripada menanggung bebanan hutang besar.
Huaren Holdings Berhad adalah syarikat pelaburan milik penuh MCA.
Menurut laporan Bernama, Lim berkata, Dr Ling cuba menjual 39 peratus kepentingan Huaren dalam akhbar berbahasa Inggeris itu dengan memeterai perjanjian dengan Malaysian Plantations Bhd, anak syarikat Kamunting Corporation, yang beliau dakwa dikuasai rakan rapat Dr Ling ketika itu, Lim Thian Kiat.
"Saya ingin nyatakan perkara sebenar bahawa Dr Ling tidak kena-mengena dengan usaha Huaren membeli The Star. Sebenarnya, saham majoriti dalam The Star Publication telah dibeli oleh Huaren melalui presiden MCA ketika itu Tan Sri Lee San Choon.
"Pada Nov 1989, Dr Ling sebenarnya cuba menjual 39 peratus kepentingan Huaren dalam The Star kepada Malaysian Plantation Berhad," kata Lim kepada pemberita di Kuala Lumpur hari ini.
Lim berkata beliau menyebut perkara ini kerana menganggap "Dr Ling cuba mencari nama" melalui sidang akhbar semalam bahawa semasa kempimpinannyalah MCA telah membeli kepentingan majoriti dalam akhbar itu.
Dikenakan tindakan
Katanya rancangan itu tidak terlaksana berikutan bantahan oleh veteran MCA, yang juga anggota Jawatankuasa Pusat (CC) parti itu Datuk Wong Mok Leong.
"Datuk Wong Mok Leong menghalang penjualan itu. Hari ini, kepentingan Huaren dalam The Star bernilai lebih RM1 bilion," katanya ketika membacakan minit mesyuarat jawatankuasa berkenaan bertarikh 12 November kepada pemberita.
Dr Lim berkata ketika menyuarakan bantahan keras mengenai penjualan 39 peratus kepentingan Huaren dalam The Star Publication kepada Malaysian Plantation Berhad, Wong juga adalah pengarah The Star.
Katanya, Wong telah dikenakan tindakan oleh Dr Ling kerana peranannya dalam menghalang penjualan itu dan disingkir daripada menganggotai Majlis Presiden dan jawatan lain di dalam parti, kecuali sebagai anggota CC yang dilantik.
Wong terus mengangotai jawatankuasa itu hingga kini.

