Azeez: Bina litar lumba untuk Mat Rempit
Putera Umno akan berunding dengan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk membina litar lumba untuk Mat Rempit di setiap daerah di seluruh negara, kata ketuanya, Datuk Abdul Azeez Rahim.
Putera Umno akan berunding dengan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk membina litar lumba untuk Mat Rempit di setiap daerah di seluruh negara, kata ketuanya, Datuk Abdul Azeez Rahim.
Beliau berkata, pihaknya akan meminta kementerian tersebut menggunakan peruntukan dari program Rakan Muda bagi membina litar lumba tersebut secepat mungkin.
"Perkara ini perlu dipandang serius kerana selagi tidak ada litar, di manakah anak-anak muda itu mahu menunggang motosikal. Umpama pemain bolasepak, jika tidak ada padang, di mana mereka hendak bermain bola," katanya ketika dihubungi malaysiakini.
Beliau berkata, litar lumba yang akan dibina tidak semestinya bersaiz besar, memadai saiz kecil bagi menjimatkan kos pembinaan.
Abdul Azeez berkata, mungkin ada sesetengah pihak yang memandang sinis terhadap usaha tersebut tetapi beliau optimis ia perlu dilakukan sebagai salah satu usaha membantu golongan Mat Rempit yang bermasalah.
"Mana tahu pada suatu hari nanti akan lahir perlumba motosikal profesional yang mengharumkan nama negara di peringkat dunia terdiri daripada bekas Mat Rempit," katanya lagi.
Ada keberanian
Beliau berkata, mungkin untuk membentuk juara tidak lagi memerlukan perbelanjaan yang besar kerana Mat Rempit sudah mempunyai kemahiran dan keberanian.
Azeez, bagaimanapun, menjelaskan bahawa program terbabit bukan bermakna mahu mencabar pihak berkuasa membanteras Mat Rempit yang melanggar undang-undang.
"Apa yang perlu dilakukan ialah memberi peluang kepada mereka untuk kembali ke pangkal jalan kerana mencegah lebih baik dari mengunatinya," jelasnya.
Beliau berkata, adalah tidak wajar dengan satu dua insiden yang membabitkan Mat Rempit ini tidak bermakna semua mereka jahat dan terlibat dengan jenayah.
Katanya, masih ramai lagi Mat Rempit yang boleh menempa kejayaan jika mendapat bimbingan yang sewajarnya.
"Putera Umno memberi peluang kepada Mat Rempit yang ingin kembali ke pangkal jalan tetapi dengan syarat sedia mematuhi syarat yang ditetapkan oleh pergerakan itu," katanya lagi.

