Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Wanita dakwa bapa tak diberi oksigen, selimut, katil sebelum meninggal

Seorang wanita mendakwa ayahnya yang meninggal dunia akibat Covid-19 diabaikan ketika mendapatkan rawatan di Hospital Serdang.

Bowie Kong mendakwa Kong Wan Hong, 56, tidak diberikan katil dan selimut walaupun diminta berulang kali.

Bantuan oksigen pula, dakwanya, hanya diberikan pada hari ketiga, tidak lama sebelum dia menghembuskan nafas terakhir.

Berhubung makanan pula, Bowie mendakwa ayahnya tidak diberikan makanan baru jika tertidur atau terlepas waktu makan.

“Ayah saya tidak dihormati ketika berada di sana. 

"Walaupun dia tidak mempunyai peluang tinggi untuk hidup, saya harap dia lebih dihormati,” kata Bowie, 26.

Malaysiakini telah menghubungi pengurusan tertinggi Hospital Serdang dan sedang menunggu penjelasan mereka.

Hospital hibrid itu sebelum ini mencetuskan perhatian selepas beredar gambar pesakit dalam khemah dan atas lantai.

Dalam tempoh dua minggu terakhir, Selangor dan Kuala Lumpur merekodkan 106,610 kes positif Covid-19.

Wan Hong yang bekerja di pasar diuji positif Covid-19 pada 15 Julai. Dia dimasukkan ke Hospital Serdang pada 20 Julai.

Sijil kematiannya, yang dilihat Malaysiakini, menyebut dia meninggal dunia pada 22 Julai dan dikelaskan sebagai kes Covid-19 kategori empat.

Mengimbau kembali, Bowie berkata ayahnya yang menghidap kencing manis, darah tinggi dan sedikit lebih berat badan, ada mengadu berkaitan keadaan hospital.

“Pada hari kedua (21 Julai) dia telefon rumah pada jam 3 pagi, kata hendak balik rumah kerana hospital terlalu sejuk,” katanya.

Bowie mendakwa ayahnya hanya diletakkan di kerusi roda di Jabatan Kecemasan dan tiada katil.

“Orang lain yang dimasukkan ke wad lepas dia dan keadaan lebih baik diberikan katil tapi dia diminta duduk atas kerusi roda,” dakwanya.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS