mk-logo
Berita
Parlimen kecoh kerana menteri dan speaker berdolak-dalik, kata Zahid
Diterbitkan:  Jul 28, 2021 9:17 PM
Dikemaskini: 1:21 PM

Ketika ada sesetengah pihak berasa jelik melihat kekecohan di antara ahli parlimen yang berlaku di Dewan Rakyat semalam, Presiden Umno hari ini menawarkan penjelasan bagi memahamkan apa yang terjadi.

Menurut Ahmad Zahid Hamidi, hakikatnya punca kekecohan itu berlaku adalah mudah, iaitu mengenai cara kerajaan Perikatan Nasional menguruskan isu darurat dan ordinannya.

Kata ahli parlimen Bagan Datuk itu, kerajaan semalam tiba-tiba mengumumkan ordinan darurat dibatalkan pada 21 Julai lalu iaitu sebelum Dewan Rakyat bersidang.

"Tiada 'perutusan' dalam TV atau pengumuman dibuat kepada rakyat mengenainya sebelum ini.

"Bermaksud dalam tempoh beberapa hari lalu aspek perundangan negara dalam kedudukan cacamarba," katanya.

Menurut Ahmad Zahid lagi, salah seorang ahli parlimen Umno yang menganggotai Jawatankuasa Khas Bebas Darurat, Noh Omar, juga membayangkan dia tidak tahu-menahu mengenai pembatalan tersebut.

"Pembatalan secara senyap-senyap itu mengejutkan ramai pihak kerana tidak dilakukan mengikut perlembagaan," katanya.

Selain itu kata Ahmad Zahid, banyak pihak berpendapat kerajaan tidak ada kuasa membatalkan ordinan darurat begitu saja kerana ia adalah hak prerogatif Yang di-Pertuan Agong selepas ia dibentang di Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

Darurat dijangka tamat Ahad

Ia juga, katanya, selari dengan titah Agong agar sidang parlimen perlu diadakan secepat mungkin bagi membolehkan ordinan berkenaan dibahaskan.

"Justeru, ahli parlimen minta kerajaan jelaskan di Dewan Rakyat sama ada pembatalan ordinan darurat tersebut telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong (atau tidak), tetapi menteri (di Jabatan Perdana Menteri, Takiyuddin Hassan) kata dia cuma boleh jawab pada hari Isnin.

"Menteri 'petik' Yang Dipertua Dewan Rakyat yang beri petua begitu. Yang Dipertua Dewan Rakyat pula 'petik' aturan mesyuarat. [...] Maka kecohlah jadinya kerana menteri dan speaker kelihatan berdolak-dalik," katanya.

Semalam ramai ahli parlimen termasuk dari Umno mengasak Takiyuddin (PN-Kota Bharu) untuk mendesak dia menjelaskan sama ada pembatalan tersebut sudah diperkanankan Agong atau sebaliknya.

Bagaimanapun setiausaha agung PAS itu bertegas mahu menjawabnya pada Isnin, 2 Ogos, ini dan berhujah begitu berdasarkan ketetapan dibuat Speaker Dewan Rakyat, Azhar Harun.

Setakat ini pembatalan berkenaan belum diwartakan di Warta Persekutuan seperti kebiasaannya.

Untuk rekod, tempoh darurat yang bermula pada 11 Jan lalu akan berakhir pada Ahad, 1 Ogos.

Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan semalam berpandangan, pembatalan tersebut dibuat secara tidak berperlembagaan.

Noh pula semasa di Dewan Rakyat semalam berkata, isu ordinan darurat itu perlu dibahaskan sebelum darurat berakhir pada Ahad ini.

Berbahas semasa darurat sudah tamat, katanya, hanya membuang masa. Bagaimanapun Azhar tidak melayan hujah ahli parlimen Tanjung Karang tersebut.

Kata Ahmad Zahid ketiadaan pewartaan pembatalan ordinan darurat ketika pengumumannya sudah dibuat adalah mengelirukan.

"Benda simple (mudah, tapi) susah nak jawab, semacam ada muslihat," katanya.

Lihat Komen
ADS