Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Peguam: Kalau polis bertimbang rasa, patut bagi doktor pilih masa soal siasat
Diterbitkan:  Jul 28, 2021 10:12 PM
Dikemaskini: 2:16 PM

Seorang peguam yang bertindak bagi pihak gerakan Hartal Doktor Kontrak membidas penjelasan polis bahawa mereka bertimbang rasa dengan menyoal pekerja kesihatan di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (Maeps) pada awal pagi.

Peguam Asheeq Ali Sethi Alivi berkata pekerja kesihatan di kemudahan kuarantin Covid-19 itu tidak pernah diberi pilihan mengenai masa untuk polis merakam kenyataan mereka.

"Sebaliknya diarahkan untuk memberikan kenyataan sebaik ketibaan polis pada awal pagi tersebut.

"Jika benar PDRM bertimbang rasa dengan doktor-doktor tersebut, sepatutnya mereka harus diberikan pilihan untuk memilih masa yang sesuai untuk mereka memberikan keterangan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, Malaysiakini melaporkan bahawa 17 kakitangan Kementerian Kesihatan termasuk doktor dan jururawat di Maeps telah disoal siasat oleh polis mulai jam 11.30 malam tadi hingga jam 3.45 pagi ini.

Polis mengatakan soal siasat itu bukan mengenai mogok yang berlangsung pada hari Isnin. Untuk rekod, kakitangan kesihatan di Maeps tidak menyertai mogok itu kerana diancam akan ditangkap.

Sebaliknya, kata polis siasatan dilakukan terhadap enam pekerja media yang didakwa menceroboh kawasan ketika mogok itu dijangka berlangsung.

Ketua Polis Selangor Arjunaidi Mohamed juga mendakwa siasatan dilakukan pada lewat malam untuk memudahkan mereka yang bekerja syif malam.

"Kita bertimbang rasa. Kami soal mereka satu persatu semasa syif mereka dengan izin dari pasukan pengurusan Maeps,” katanya.

Namun, Asheeq membantah bahawa tindakan polis tidak dapat dimaafkan dan bertentangan dengan undang-undang.

"Keterangan yang diambil sewaktu lewat malam atau awal pagi adalah bertentangan dengan undang-undang dan tindakan tersebut tidak boleh dipertahankan.

"Apatah lagi dalam kes ini sewaktu para doktor itu sedang bekerja di pusat kuarantin Covid-19.

"KKM dan PDRM sepatutnya sedar dan tahu akan tekanan dan bebanan kerja yang dihadapi oleh doktor-doktor tersebut.

"Kerana itu saya menyatakan dengan tegas bahawa pengambilan keterangan tersebut adalah bertentangan dengan undang-undang dan satu intimidasi terhadap doktor-doktor tersebut.

"PDRM harus menghentikan tindakan mengambil kenyataan dalam waktu-waktu ganjil seperti itu," katanya.

Lihat Komen
ADS