Tidak ada doktor periksa pendatang yang dihantar pulang?
Siasatan sedang dijalankan untuk menentukan bagaimana dua kanak-kanak Filipina meninggal dunia kerana sakit sewaktu dalam proses penghantaran pulang, walaupun kerajaan Malaysia dan Filipina bersetuju hanya pendatang yang sihat sahaja dihantar pulang.
Siasatan sedang dijalankan untuk menentukan bagaimana dua kanak-kanak Filipina meninggal dunia kerana sakit sewaktu dalam proses penghantaran pulang, walaupun kerajaan Malaysia dan Filipina bersetuju hanya pendatang yang sihat sahaja dihantar pulang.
Pengarah Pasukan Petugas Khas Persekutuan di Sabah, Masri Barham berkata, siasatan itu dimulakan selepas pihaknya menerima laporan mengenai Timah Basir, 13, dan Nurhani Nurmi, 3, yang meninggal dunia selepas dihantar pulang bersama ibu bapa mereka dari pusat tahanan imigresen Menggatal.
Dua kanak-kanak itu, yang berasal dari Sumisip di Basilan, selatan Filipina, dihantar pulang dengan menaiki feri M/V Danica Joy pada 29 September bersama ibubapa mereka dan kira-kira 530 pendatang tanpa izin lagi untuk perjalanan sehari ke Bandaraya Zamboanga.
Tidak lama selepas feri itu berlepas dari Sabah, Timah meninggal dunia akibat kurang makanan dan kekurangan glukos dalam saluran darah.
Nurhani pula meninggal dunia di Pusat Perubatan Bandaraya Zamboanga pada petang mereka tiba pada 30 Sepeember. Dia mengalami gastroenteritis yang teruk, kekurangan makanan dan jangkitan paru-paru (pneumonia).
Masri enggan mengulas apabila ditanya bagaimana kanak-kanak tersebut dibenarkan menaiki feri dalam keadaan kesihatan mereka yang sedemikian rupa serta perjanjian dua hala untuk tidak menghantar pulang pendatang yang sakit.
"Kita tidak boleh berkata apa-apa kecuali setelah kita menyiapkan siasatan," katanya ketika dihubungi.
Tiada doktor
Ketika dihubungi, Pengarah Jabatan Imigresen Sabah, Baharon Talib, mengakui tidak ada doktor ketika pendatang Filipina itu menaiki feri tersebut.
"Kita tidak mempunyai sebarang doktor untuk memeriksa mereka ketika mereka menaiki feri. Setiap minggu kita menghantar pulang sekurang-kurangnya 100-200 orang. Kita hanya mempunyai senarai nama mereka, dan kita memeriksa dokumen yang dikeluarkan oleh Kedutaan Filipina.
"Kebajikan dan kesihatan mereka adalah terletak dalam bidangkuasa Pasukan Petugas. Kita hanya bertanggungjawab untuk menghantar mereka pulang," kata Baharon mengulang kenyataannya sebelum ini.
Sementara itu, Kedutaan Filipina di Kuala Lumpur enggan mengulas kenyataan Baharon sehingga mereka menerima laporan rasmi daripada Pasukan Petugas Persekutuandi Sabah atau Jabatan Imigresen Sabah.
Tahun lalu, seorang kanak-kanak berusia dua tahun, Rene Nasir meninggal dunia akibat penyahhidratan ketika dihantar pulang ke Filipina. Berita asal


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.