Jawatankuasa Pengurusan Umno akan memutuskan nasib Datuk Zakaria Md Deros sebagai Ahli Majlis Majlis Perbandaran Klang (MPK), kata Menteri Besar Selangor Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo.

Katanya, laporan mengenai kes Zakaria yang juga Ketua Umno bahagian Klang, telah dihantar kepada jawatankuasa tersebut yang akan memutuskan tindakan yang sepatutnya dikenakan terhadapnya,

"Kita serahkan kepada jawatankuasa berkenaan untuk membuat keputusan," katanya ketika diminta mengulas kedudukan Zakaria sebagai MPK.

Sebelum itu beliau merasmikan program Balik Kampung Bersama RTM Sepanjang Jalan Sempena Musim Perayaan Deepavali dan Aidilfitri di Plaza Tol Sungai Rasau di Klang hari ini.

Menurut laporan Bernama, kelmarin, Dr Mohd Khir berkata, Zakaria didapati melanggar Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 kerana membina sebuah rumah seperti istana di kawasan rumah kos rendah di Kampung Idaman, Pandamaran.

Zakaria melanggar peraturan mengikut Seksyen 70 (1) akta itu kerana membina bangunan tanpa kebenaran pihak berkuasa tempatan dan boleh dikenakan denda maksimum iaitu 10 kali ganda daripada bayaran lukisan pelan asal rumah.

Komen PM

Maklumat itu terkandung di dalam laporan yang dihantar oleh Yang Dipertua Majlis Perbandaran Klang (MPK) Abdul Bakir Zin kepada Dr Mohamad Khir baru-baru ini.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata kesalahan seperti yang didakwa dilakukan oleh Zakaria boleh membangkitkan kemarahan rakyat.

Secara prinsipnya, tegas beliau, Zakaria sebagai seorang ahli Majlis Perbandaran Klang (MPK) perlu mematuhi undang-undang kerana kegagalan mereka berbuat demikian boleh menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan rakyat.

Perdana Menteri dilaporkan berkata, beliau menyerahkan kepada Dr Mohd Khir untuk mengambil tindakan mengikut peruntukan undang-undang yang sedia ada , setimpal dengan kesalahan yang dilakukan oleh Zakaria