mk-logo
Berita
Mahathir: Muhyiddin sengaja berbohong di parlimen
Diterbitkan:  Jul 29, 2021 5:53 PM
Dikemaskini: 10:05 AM

Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad berkata Muhyiddin Yassin sengaja berbohong kepada parlimen dalam isu pembatalan ordinan darurat.

Menurut Mahathir sepatutnya presiden Bersatu itu tahu dia tidak memiliki kuasa untuk membatalkan ordinan terbabit tanpa mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.

"Tapi pengumuman (pembatalan) tersebut tetap dibuat seolah-olah dia ada kuasa tersebut sedangkan ia terletak pada tangan Agong semasa darurat.

"Walaupun Muhyiddin tidak mengumumkan pembatalan tersebut pada 26 Julai lalu dan ia dilakukan Menteri Undang-undang Takiyuddin Hassan, Muhyiddin tidak boleh berlepas diri daripada tanggungjawab," katanya dalam kenyataan petang ini.

Mahathir yang juga ahli parlimen Langkawi menambah Muhyiddin tidak cuba pun untuk membetulkan keadaan apabila Takiyuddin membuat pengumuman tersebut.

Muhyiddin juga katanya tidak melarang Takiyuddin walaupun dia duduk betul-betul di depan kerusi setiausaha agung PAS itu semasa di Dewan Rakyat.

"Muhyiddin juga tidak membuat sebarang penjelasan pada hari-hari berikutnya," kata Mahathir.

Tengah hari tadi Istana Negara mengeluarkan kenyataan bagi memaklumkan rasa amat dukacita Yang di-Pertuan Agong terhadap cara ordinan darurat dibatalkan oleh kerajaan Perikatan Nasional.

Menurut kenyataan Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Ahmad Fadil Shamsuddin, Agong juga amat kecewa apabila ordinan darurat itu tidak dibentang dan dibahaskan seperti dipersetujui Takiyuddin dan Peguam Negara Idrus Harun di hadapan baginda pada 24 Julai lalu.

Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah juga amat dukacita apabila Takiyuddin mengelirukan Dewan Rakyat dengan kenyataan dibuatnya semasa sidang khas berlangsung.

Kenyataan Istana Negara itu mengesahkan jangkaan banyak pihak bahawa pembatalan ordinan darurat tersebut dibuat tanpa mendapat perkenan Agong.

Dengan apa yang berlaku hari ini, kata Mahathir, Muhyiddin dan seluruh anggota kabinet kerajaan terbabit dalam peristiwa "memalukan" itu.

"Oleh kerana itu Muhyiddin bertanggungjawab atas tindakan yang memalukan ini, juga semua ahli kabinet," katanya.

Mahathir juga menggesa Muhyiddin untuk meletak jawatan.

"Dan semua anggota kabinetnya juga mesti mengambil tindakan sama," katanya.

Lihat Komen
ADS