Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Anwar tuntut k'jaan buktikan sokongan pada PN di parlimen
Diterbitkan:  Jul 29, 2021 7:02 PM
Dikemaskini: 12:18 PM

Walaupun Timbalan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob mendakwa kerajaan Perikatan Nasional masih mendapat sokongan majoriti di parlimen, Anwar Ibrahim berpendapat fakta itu mesti dibuktikan.

Menurut ketua pembangkang keabsahan sokongan yang didakwa Ismail Sabri itu perlu diuji di Dewan Rakyat dan hanya dengan cara itu kenyataan tersebut dianggap benar.

“Ismail Sabri tahu undang-undang, dia patut test (uji sokongan) di dalam dewan.

"Sebab apa takut uji di dewan? Dia menteri, dia anak Pahang, dia faham tak (maksud) derhaka? Dia faham atau tidak titah diraja? Dia faham atau tidak peranan parlimen?" kata Anwar pada sidang media di parlimen lewat petang ini.

Terdahulu, Ismail yang juga Ketua Whip Kerajaan berkata pimpinan Perikatan Nasional (PN) masih mendapat sokongan 110 daripada 222 anggota parlimen.

“Saya ingin menegaskan bahawa kerajaan masih mendapat sokongan melebihi 110 ahli-ahli parlimen yang masih bersama-sama kerajaan pada hari ini," katanya.

Kenyataan Ismail hadir selepas Istana Negara menegur pengendalian pembatalan ordinat darurat yang tidak mendapat perkenan Yang Di-Pertuan Agong serta tidak dimansuhkan melalui parlimen.

Sementara itu, Anwar yang juga ahli parlimen Port Dickson menegaskan sama ada sidang Parlimen dibatal atau tidak, mereka tetap akan hadir ke Dewan Rakyat pada jam 10 pagi, Isnin ini.

"Kita mahu jaminan daripada Speaker bahawa sidang akan diadakan seperti biasa pada hari Isnin, dan Speaker beri jaminan bahawa sidang akan diadakan pada Isnin.

"Walaupun kita tahu sikap Speaker tidak ada penuh keyakinan tetapi sekurang-kurangnya dia beri jaminan. Kita telah beritahu kepada semua ahli-ahli parlimen supaya hadir pada jam 10 pagi.

"Apa pun jadi, nak batal atau tidak kita tetap akan hadir pada jam 10 pagi Isnin," tegasnya.

Selain itu, Anwar juga turut memaklumkan pihaknya telah mengadakan pertemuan dengan Speaker Dewan Rakyat, Azhar Azizan Harun dan membantah keputusan Speaker yang disifatkan mempermainkan ahli parlimen dengan beberapa kali menangguh sidang Dewan Rakyat hari ini.

“Kita beritahu kepada Speaker yang mana dia baca kenyataan Istana Negara, derhaka keduanya, beliau ketepikan Perlembagaan dan ketiga menghina Parlimen dan Speaker tidak layak untuk teruskan tugas kalau keadaannya begini.

“… beliau nak cuba pertahankan kerajaan yang sudah hilang majoriti dan keabsahan yang nyata. Terutama dengan pendirian kami dan pendirian yang disebut dalam kenyataan Presiden Umno bahawa (mereka) tarik sokongan terhadap Muhyiddin,” katanya,

Katanya, tindakan Timbalan Yang Dipertua Dewan, Rashid Hasnon menangguhkan Dewan Rakyat petang tadi juga tidak jelas apabila tidak memaklumkan tempoh penangguhan itu.

Sidang media tersebut turut dihadiri pemimpin Pakatan Harapan iaitu Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Presiden Amanah, Mohamad Sabu.

Sidang Dewan Rakyat hari ini ditangguhkan beberapa kali ketika keadaan sebenar masih tidak dapat dipastikan ekoran kenyataan dikeluarkan Istana Negara.

Bagaimanapun, ketika orang ramai menanti perkembangan terbaru di parlimen berhubung kesan daripada kenyataan Istana Negara, Timbalan Speaker Dewan Rakyat Azalina Othman Said berkata, sidang hanya akan disambung pada jam 3.30 petang.

Lazimnya Dewan Rakyat bersidang semula pada jam 2.30 petang selepas tamat waktu rehat dan makan tengah hari.

Namun, sidang Dewan Rakyat sekali lagi ditangguhkan ke jam 5.15 petang apabila timbalan speaker, Mohd Rashid Hasnon, mengumumkan ada dua kes positif Covid-19 dikesan di parlimen.

Mohd Rashid kemudian menyambung semula sidang hanya untuk memaklumkan sidang pada hari itu ditangguhkan.

Lihat Komen
ADS