Ketua Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat (PKR) Ezam Mohd Noor meraikan kira-kira 30 mahasiswa dan bekas mahasiswa yang terbabit dalam perhimpunan membantah pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 1998.

Majlis tersebut yang diadakan di ibupejabat PKR di Brickfields turut dihadiri oleh beberapa pemimpin Angkatan Muda PKR.

Dalam ucapan ringkasnya, Ezam menasihatkan mahasiswa supaya tidak membabitkan diri dengan politik bagi memastikan kecemerlangan mereka dalam pendidikan.

"Saya tidak gemar dan tidak menggalakkan mahasiwa terlibat dengan mana-mana parti politik kerana ia boleh menjejaskan tumpuan kepada kuliah.

"Mahasiswa perlu menjadi mahasiswa yang sebenar kerana dengan ini mereka lebih berjaya pada masa akan datang," katanya.

Sementara itu, Rafizan Ramli, bekas pelajar Universiti Teknologi Mara (UITM) yang dipecat kerana terbabit dalam perhimpunan tersebut, berpendapat mahasiswa boleh berpolitik asalkan tidak menganggu pelajaran mereka.

Katanya, mahasiswa juga mempunyai hak untuk menyertai sebarang perhimpunan aman kerana dalam negara demokrasi, rakyat mempunyai hak berhimpun dan bersuara.

"Jika semua tidak boleh apa yang mahasiswa boleh lakukan lagi? Adakah ini akan menjadikan mahasiswa sebagai aset negara?" katanya.