Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
#Lawan: Aktivis dibebaskan selepas soal siasat 10 jam

Aktivis Sarah Irdina Mohammad Ariff dibebaskan daripada tahanan polis sekitar jam satu pagi tadi, selepas disoal siasat selama 10 jam atas dakwaan hasutan dan penggunaan kemudahan rangkaian secara tidak wajar.

Penahanan Sarah, 20, berkaitan dengan dengan catatan media sosial oleh kumpulan anak muda Misi Solidariti mengenai gerakan #Lawan.

Perkara itu dimaklumkan oleh peguamnya, Goh Cia Yee melalui ciapan di Twitter.

"Sarah baru saja dibebaskan. Saya hadir bersamanya di balai polis hari ini (semalam).

"Saya buat beberapa lawak untuk tenangkannya, tapi ini kali pertama dia disoal siasat oleh polis.

"Saya hormati dia dan rakan-rakannya atas apa yang mereka lakukan," katanya.

Goh juga membangkitkan solidariti yang ditunjukkan dengan tanda pagar #FreeSarah di Twitter, serta nyalaan lilin sebagai solidariti oleh Pemuda PSM di luar lokap Jinjang - tempat Sarah disoal siasat - malam tadi.

Semalam, pegawai dari Bahagian Pendakwaan dan Undang-undang Bukit Aman (D5) dilaporkan menahan Sarah setelah dia soal siasat di balai polis daerah Dang Wangi.

Polis juga merampas telefon bimbitnya dan dia pada mulanya dimaklumkan akan direman semalaman di lokap Jinjang.

Pengasas Misi Solidariti itu disiasat mengikut Seksyen 4 (1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Menurut pengasas bersama Undi18, Qyira Yusri, salah satu ciapan Sarah pada 1 Julai lalu hanya menyatakan tuntutan gerakan #Lawan agar Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengundurkan diri dan Parlimen dapat bersidang selain darurat ditamatkan.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS