story image
mk-logo
Berita
Polis panggil lima orang penganjur demo #Lawan

Lima orang daripada Sekretariat Solidariti Rakyat (SSR) dipanggil untuk disoal siasat oleh polis berkaitan penglibatan mereka sebagai penganjur dalam demonstrasi #Lawan di Kuala Lumpur hari ini.

Penganjur dalam satu kenyataan yang dikeluarkan beberapa jam setelah perhimpunan aman itu bersurai berkata, kelima-lima individu itu akan hadir balai Polis Daerah Dang Wangi pada pukul 10 pagi esok dengan ditemani peguam mereka.

Polis menganggarkan seramai 400 orang hadir dalam perhimpunan itu, manakala penganjur mendakwa 2,000 menyertai demontrasi sepanjang 3km menuju Dataran Merdeka dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Lima individu yang dipanggil pihak polis ialah Mohamad Abdullah Alshatry, Mohammad Asraf Sharafi Mohammad Azhar, Tharmelinggem Pillai, Qyira Yusri dan Sevan Doraisamy.

"Sekretariat Solidariti Rakyat mengucapkan jutaan terima kasih kepada ribuan anak muda dan rakyat Malaysia yang hadir secara fizikal mahupun secara maya dalam himpunan #KeluarDanLawan hari ini.

"Ribuan anak muda telah turun untuk menuntut Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin segera meletakkan jawatan," kata SSR dalam kenyataan.

Mereka juga menyatakan lebih 272,000 ciapan (tweet) berkenaan #Lawan serta 20,000 ciapan mendesak agar Dataran Merdeka dibuka.

Perhimpunan itu mengemukakan tiga tuntutan utama iaitu meminta pengunduran Muhyiddin, membenarkan parlimen terus bersidang dan menutut kerajaan memberikan moratorium pinjaman automatik untuk semua rakyat Malaysia.

Sementara itu SSR berkata pihaknya memilih Dataran Merdeka kerana lokasi tersebut memudahkan pengawalan prosedur operasi standard (SOP) terutamanya penjarakan fizikal. 

"Kita berjaya mengawal SOP dengan baik dan semua peserta memakai pelitup muka serta menjaga jarak antara satu sama lain.

"Terima kasih buat para peserta dan sukarelawan kami kerana mendengar arahan marsyal-marsyal protes dan berjaya mematuhi SOP sepenuhnya.

"Hari ini, peserta-peserta kami juga telah menunjukkan bahawa kita boleh dan mampu protes di jalanan dengan selamat untuk menegakkan hak-hak kita," katanya.

Terdahulu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Zainal Abdullah berkata tindakan akan diambil kerana walaupun perhimpunan itu berjalan secara aman, ia jelas melanggar peraturan perintah kawalan pergerakan.

Lagi berita dari pengarang :
Lagi berita seperti ini :
Lihat Komen (0)
ADS
Paling Popular
Terkini
ADS