Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Sabah juga perlukan Operasi Lonjakan Kapasiti, kata MP
Diterbitkan:  Jul 31, 2021 11:12 PM
Dikemaskini: 3:12 PM

Ahli Parlimen Kota Kinabalu, Chan Foong Hin berkata Sabah sangat memerlukan Operasi Lonjakan Kapasiti seperti di Lembah Klang untuk meningkatkan jumlah pemberian vaksin di negeri itu secepat mungkin.

Ini memandangkan jumlah kes Covid-19 harian di Sabah mencapai angka 1,000 semalam.

"Kami memerlukan operasi untuk vaksinasi segera, seperti Operasi Lonjakan Kapasiti di Lembah Klang yang bertujuanmemberi suntikan kepada semua individu berdaftar berumur 18 tahun ke atas, dengan sekurang-kurangnya dos pertama mereka pada 1 Ogos," kata Chan dalam satu kenyataan hari ini.

Dia merujuk kenyataan perunding kanan pediatrik Dr Amar-Singh HSS semalam bahawa Sabah mungkin kembali ke tahap krisis yang dialaminya menjelang akhir tahun lalu berikutan peningkatan pantas kes Covid-19 di negeri ini dengan angka kematian meningkat 84 peratus apabila dibandingkan angka dua minggu pertama bulan Julai dengan dua minggu lalu.

Keadaan menjadi semakin genting kerana Sabah mempunyai bekalan vaksin terendah per populasi di negara ini dan antara kadar vaksinasi terendah di seluruh negara, dengan purata jumlah dos harian tujuh hari lalu adalah sebanyak 31,804.

Chan berkata, ketika Sabah bergelut dengan peningkatan kes Covid-19 tahun lalu, negeri itu mendapat bantuan sumber dari kerajaan persekutuan berbanding kali ini.

Justeru dia senada dengan pendirian kerajaan negeri Sabah bahawa kadar vaksinasi yang tinggi merupakan kunci untuk memerangi pandemik Covid-19 walaupun berpendapat kerajaan negeri "gagal melihat kesegeraan" dalam perkara itu.

Kerajaan negeri menyasarkan untuk memvaksinasi 60 peratus penduduk Sabah pada Oktober, yang menurut Chan sudah terlambat.

Sekiranya ada Kapasiti Lonjakan Operasi di Sabah, Chan berkata negeri perlu menetapkan sekurang-kurangnya 60,000 dos sehari, kira-kira dua kali ganda kadar vaksinasi sekarang.

Katanya, kerajaan Sabah juga harus bersikap proaktif dalam meningkatkan bekalan vaksin yang dihantar ke negeri itu.

Misalnya, katanya, kerajaan negeri perlu membuat pesanan vaksin lebih awal atau berunding dengan kerajaan persekutuan berkaitan kos logistik atau kos vaksin dan sebagainya.

"Tidak ada gunanya menunding hanya kepada kerajaan persekutuan kerana kerajaan pusat juga bertindak berdasarkan bekalan dan ia akan terlambat untuk meminta vaksin hanya setelah ia tiba di Kuala Lumpur dari pengilang," kata Chan.

Lihat Komen
ADS