Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Keraian sembunyi-sembunyi punca kes Covid-19 naik mendadak di T'ganu
Diterbitkan:  Aug 1, 2021 12:37 PM
Dikemaskini: 4:37 AM

Menteri Besar Terengganu Ahmad Samsuri Mokhtar berkata peningkatan ketara kes Covid-19 di negeri itu disumbangkan beberapa faktor termasuk penganjuran majlis keraian yang dijalankan secara sorok-sorok.

Katanya ia berlaku semasa umat Islam meraikan Aidiladha baru-baru ini.

Menurut kenyataan yang dibuat melalui laman sosial malam tadi Ahmad Samsuri berkata turut menyumbang kepada peningkatan drastik itu ialah kegiatan terlarang iaitu merentas negeri dan daerah sewaktu musim perayaan.

Hal itu berlaku, katanya, walaupun ia memang tidak dibenarkan pihak berkuasa.

“[...] ketiga, akitivi semasa perayaan Aidiladha yang tidak mengikut SOP (prosedur operasi standard), majlis keraian yang dijalankan secara sembunyi dalam masyarakat kita (dan) aktviti merentas negeri dan daerah semasa perayaan walaupun ia tidak dibenarkan," katanya.

Dalam kenyataan itu Ahmad Samsuri juga menjelaskan kedatangan pekerja kontrak warga asing dari luar Terengganu dan kemasukan tersebut tidak disaring telah mencetuskan kluster semasa mereka.

Semalam Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaporkan sebanyak 883 kes baru Covid-19 dikesan di Terengganu berbanding hanya 258 kes pada kelmarin.

Daripada 883 kes itu, 860 adalah melibatkan penularan tempatan dan ia menjadi rekod tertinggi jangkitan Covid-19 di Terengganu setakat ini.

Jumlah kumulatif di negeri itu setakat semalam ialah 16,948 kes dengan 3,140 masih aktif. Semalam juga sebanyak tiga kematian direkodkan menjadikan jumlah korban setakat ini seramai 123 orang.

Kemaman menjadi daerah yang mencatatkan kes baru tertinggi iaitu sebanyak 291 diikuti Kuala Terengganu (195), Dungun (179) dan Marang (79). Daerah lain ialah Setiu (60), Kuala Nerus (53), Besut (23) dan Hulu Terengganu (3).

Dalam kenyataan sama Ahmad Samsuri berkata turut menyumbang kepada peningkatan semalam ialah pelaksanaan saringan bersasar dan kes bergejala disebabkan penularan yang cepat dalam komuniti.

Katanya Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu dengan kerjasama pihak berkuasa akan meningkatkan lagi aktiviti kawalan dan saringan kontak rapat serta saringan di lokaliti berisiko yang telah dikenal pasti.

“Susulan daripada aktiviti pengesanan ini kerajaan negeri menjangkakan peningkatan kes dalam masa dua minggu akan datang,” katanya.

Menurut Adun Ru Rendang itu lagi kerajaan negeri akan cuba mendapatkan vaksin tambahan dengan segera untuk kawasan yang mencatatkan kes tinggi khususnya di Kemaman dan Dungun.

Lihat Komen
ADS