Buktikan kepada kita bahawa tahanan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) masih dianggap sebagai ancaman kepada keselamatan negara, kata kumpulan anti-ISA kepada kerajaan hari ini.

Walaupun mereka akan menyambut perayaan Hari Raya Aidilfitri beberapa hari lagi, kumpulan tersebut yang berpakaian serba hitam berhimpun di Bukit Aman petang ini untuk 'berkabung' ekoran penahanan berterusan lebih 80 orang di bawah ISA.

Sejumlah 17 tahanan yang disyaki anggota Kumpulan Militan Malaysia (KMM) dan Jemaah Islamiah (JI) dibebaskan pada hari Rabu dan semalam.

Kumpulan anti-ISA itu juga mempersoalkan standard yang digunakan oleh kerajaan dalam membebaskan tahanan terbabit yang selama ini ditahan tanpa bicara..

"Seramai 38 (daripada 80 orang tahanan) didakwa anggota JI, yang ditahan atas dakwaan yang sama dengan mereka yang dibebaskan," kata Pengerusi Gerakan Mansuhkan ISA (GMI), Syed Ibrahim Syed Noh (foto kiri) selepas menyerahkan satu memorandum kepada Bukit Aman hari ini.

"Mengapa kerajaan begitu bersikap memilih dalam membebaskan tahanan yang dituduh melakukan 'jenayah' yang sama?" soalnya.

Sempena Ramadan

Gerakan Mansuhkan ISA itu yang merupakan gabungan 83 badan sivil mengulangi desakannya supaya dimansuhkan akta tersebut yang membolehkan seseorang itu ditahan tanpa bicara, sepertimana yang dicadangkan oleh Suhakam.

Sambil mendesak pihak berkuasa supaya membebaskan kesemua tahanan tersebut, Syed Ibrahim meminta kerajaan supaya melakukan lebih banyak kebaikan pada bulan Ramadhan.

Memorandum tersebut diterima oleh Pegawai Perhubungan Bukit Aman, Saipul Anuar. Beliau memberitahu kumpulan tersebut yang beliau akan berusaha untuk menyampaikan memorandum tersebut kepada Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan.

Semasa para isteri tahanan tersebut mahu menyampaikan harapan mereka agar suami masing-masing dibebaskan lebih awal, Saiful menjawab dengan baik: "Kami faham, tetapi lain orang lain lain persepsinya...mereka yang ditahan itu tentunya telah melakukan sesuatu yang salah.".

Ditanya mengapa tiada seorang pun pegawai kanan polis hadir untuk menerima memorandum tersebut, Saipul menjelaskan, mereka sedang sibuk dan KPN sendiri tiada di pejabat.

Kira-kira 20 anggota polis mengawasi perhimpunan selama 45 minit itu manakala pintu masuk ke Bukit Aman ditutup apabila mereka tiba di situ.

Antara mereka yang hadir termasuklah bekas tahanan ISA, Ezam Mohd Nor, Ghani Haron, Saari Sungib dan Badaruddin Ismail, keluarga tahanan, Pengarah Eksekutif Suaram, Yap Swee Seng serta peguam tahanan terbabit, Latheefa Koya. Berita asal