Majlis angkat sumpah ahli Majlis Perbandaran Klang (MPK) yang dijadualkan hari ini ditangguhkan berikutan perasaan tidak puas hati sesetengah pihak terhadap pelantikan tiga anggota MPK melibatkan tiga anggota keluarga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pelabuhan Klang, Datuk Zakaria Md Deros.

Selain Zakaria yang menjadi anggota MPK, dua yang lain ialah anak lelakinya Zainuri (kiri) yang juga Ketua Pemuda Umno Bahagian Klang dan menantunya, Roselinda Abdul Jamil (kanan), yang menjadi Ketua Puteri Umno bahagian berkenaan.

Ketika mengesahkan perkara tersebut, Menteri Besar, Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo menyifatkan apa yang berlaku di MPK itu sebagai "agak luar biasa" memandangkan ketiga-tiga mereka yang disenaraikan itu menang pemilihan Umno.

"Kita tidak ada masalah (untuk kaji semula kedudukan mereka) sebab kes di Klang itu agak luar biasa, sebabnya semua mereka menang dalam (pemilihan) parti. Kita kena menghormati juga pemilihan parti. Sebab itu kita kena selesaikan mengikut (cara) parti," katanya dalam laporan Bernama.

Bercakap kepada pemberita selepas menghadiri Mesyuarat Majlis Kewangan Negara di Putrajaya hari ini, Dr Mohd Khir menjelaskan bahawa Umno sebelum ini membuat keputusan bahawa mereka yang ada kedudukan dalam parti boleh dilantik sebagai anggota majlis berkuasa tempatan.

Keputusan Umno

"Yang penting adalah mereka tidak boleh menggunakan kedudukan untuk kepentingan diri sendiri. Itu yang paling penting sekali," katanya.

Bagaimanapun, katanya, kedudukan tiga anggota keluarga Zakaria (foto) itu sebagai anggota Majlis Perbandaran Klang (MPK) akan dirujuk kepada Umno terlebih dahulu sebelum sebarang keputusan mengenainya diambil.

Ditanya mengenai suara-suara yang mahu supaya diadakan "pilihanraya" bagi pemilihan ahli majlis, beliau berkata: "Itu keputusan kerajaan persekutuan."

Isu melibatkan Zakaria hangat diperkatakan berikutan pendedahan di media bahawa beliau membina sebuah rumah mewah empat tingkat di Pandamaran tanpa kelulusan MPK.