Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pengerusi PAC kecam 'ugutan' tahan, dakwa polis langgar undang-undang
Diterbitkan:  Aug 2, 2021 6:04 PM
Dikemaskini: 10:16 AM

Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) Wong Kah Woh mengecam 'ugutan' polis untuk menahannya ketika cuba menghadiri prosiding PAC di parlimen hari ini.

Jelasnya, ahli PAC lain turut dihalang memasuki kawasan parlimen pada mulanya, meskipun mempunyai surat panggilan mesyuarat yang ditandatangani Setiausaha Dewan Rakyat yang memaklumkan mengenai mesyuarat jawatankuasa berkenaan.

Polis hari ini mengerahkan Unit Simpanan Persekutuan (FRU) untuk menghalang ahli parlimen memasuki parlimen.

Ini selepas Perdana Menteri Muhyiddin Yassin menangguhkan sidang parlimen ke tarikh yang belum ditetapkan.

Bagaimanapun, prosiding PAC dijadual diteruskan hari ini.

"Saya berasa amat kesal dengan tindakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang gagal memberikan laluan selamat kepada ahli-ahli PAC untuk prosiding PAC bersama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di parlimen, yang dijadualkan bermula pada pukul 10.30 pagi hari ini.

"..Malah, anggota polis turut mengugut untuk menahan saya sekiranya saya tidak beredar dari tempat sekatan jalan raya dalam tempoh dua minit," kata Wong dalam satu kenyataan.

Kata Wong, ahli-ahli PAC akhirnya diberikan laluan setelah campur tangan daripada pengurusan Parlimen.

Namun, tegasnya, tindakan polis itu tidak wajar dan merupakan ancaman terhadap peranan mereka selaku ahli PAC.

"Ia bertentangan dengan usul yang memerintahkan ketua polis negara menjaga laluan masuk dan keluar untuk ahli-ahli Parlimen hadir ke sebarang mesyuarat di parlimen yang diluluskan Dewan Rakyat pada setiap pembukaan penggal, dan juga menyalahi Seksyen 124 Kanun Keseksaan.

"Kehadiran kami di bangunan parlimen adalah bertujuan untuk menghadiri prosiding PAC dan surat panggilan mesyuarat berkenaan adalah bukti jelas dan nyata kepada anggota polis," katanya.

Sementara itu dalam prosiding perolehan vaksin Covid-19 dan penggunaannya itu, menurut Wong PAC hari ini memanggil Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang dihadiri Menteri Kesihatan, Dr Adham Baba; Ketua Setiausaha KKM, Mohd Shafiq Abdullah; Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah; dan Pengarah Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA), Dr Roshayati Rusli.

Katanya, prosiding itu berjalan lancar selama hampir tiga jam dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP).

"PAC akan berbincang mengenai laporannya dan akan mengemukakan rumusan serta syor kepada Kerajaan mengenai isu ini sebelum dibentangkan di Dewan Rakyat selewat-lewatnya dalam sidang Parlimen Oktober nanti," katanya.

Lihat Komen
ADS