mk-logo
Berita
ULASAN | Amat menyedihkan bila pemimpin hina asas demokrasi negara

ULASAN | Pada 31 Julai lalu Presiden MIC, SA Vigneswaran, mempersoalkan peranan Yang di-Pertuan Agong berkenaan penamatan semua ordinan darurat.

Sebelum melihat dengan lebih mendalam, adalah penting untuk kita menegaskan punca kita berada dalam kekalutan ini. 

Memang jelas daripada nada dan konteks Vigneswaran, beliau kelihatan lebih cenderung mempertahankan tindakan-tindakan kerajaan, bukannya untuk mengangkat perlembagaan sehingga tidak mengendahkan institusi diraja.

Sangat menyedihkan bagi seluruh rakyat Malaysia apabila pemimpin yang kita harapkan, sebaliknya gagal untuk menegakkan kedudukan tertinggi negara dan menghina asas demokrasi negara ini.

Malaysia sebagai negara berdaulat tidak seharusnya kita melupakan sejarah dan ketinggian institusi yang menjadi sumber kuasa negara ini semata-mata mahu mengambil hati mereka yang berkuasa.

Pertama, Presiden MIC beranggapan tindakan kerajaan membatalkan ordinan darurat sebelum waktunya adalah sesuatu yang berasas. Beliau berpendapat kerajaan sebenarnya mengambil pemahaman bahawa apabila Agong menzahirkan perkenan yang darurat mestilah tidak diteruskan selepas 1 Ogos, secara tidak langsung baginda berkenan untuk membatalkannya.

Bagaimanapun, hujah itu pincang dan tidak bernas. Mengikut perlembagaan, hanya ada dua cara untuk menamatkan proklamasi darurat.

Pertama, jika Agong membatalkannya. Kedua, melalui pembatalan yang dibuat melalui ketetapan oleh kedua-dua dewan iaitu Dewan Negara dan Dewan Rakyat.

Berdasarkan kenyataan tersebut, Istana Negara melalui Datuk Pengelola Bijaya Diraja mengeluarkan kenyataan bahawa “Yang di-Pertuan Agong menzahirkan rasa amat dukacita dengan kenyataan yang telah dibuat di Parlimen pada 26 Julai lalu bahawa kerajaan telah membatalkan semua ordinan darurat yang telah dimasyhurkan oleh baginda sepanjang tempoh darurat, walhal pembatalan belum lagi diperkenan Baginda”.

Membelakangkan prosedur dalam perlembagaan

Agong menekankan bahawa “Perkara 150 (2B) dibaca bersama dengan Perkara 150 (3) Perlembagaan Persekutuan menyatakan dengan jelas akan kuasa baginda untuk menggubal dan membatalkan ordinan”, dan ia tidak dilakukan dalam hal ini.

Kedudukan ini telah dihuraikan dalam kes The Cheng Poh lwn PP, dan Privy Council memutuskan bahawa:

“Kuasa untuk membatalkan, walau bagaimanapun, seperti kuasa untuk menggubal proklamasi, adalah terletak pada kuasa Yang di-Pertuan Agong, dan perlembagaan tidak mensyaratkannya untuk dilakukan melalui sebarang instrumen rasmi”.

Justeru, kerajaan sebenarnya membuat andaian semata-mata bahawa hanya kerana Agong berhasrat untuk tidak meneruskan ordinan darurat selepas 1 Ogos maka ia juga bermaksud baginda memberikan perkenan diraja untuk menamatkan semua ordinan darurat.

Justeru, kenyataan yang dibuat oleh Presiden MIC itu adalah tidak benar dan membelakangkan prosedur yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Sedangkan sangat jelas bahawa kenyataan yang dibuat oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri mengelirukan parlimen serta orang awam dan menimbulkan krisis perlembagaan.

Kedua, Vigneswaran berpandangan tiada keperluan untuk membahaskan ordinan darurat dan ia merupakan sesuatu yang bersifat “represents a setback towards rebuilding the stability of our nation”.

Beliau seterusnya menyatakan persidangan khas parlimen kali ini adalah bertujuan membahaskan Pelan Pemulihan Covid-19 dan isu-isu yang berkaitan dengan pandemik.

Punca krisis perlembagaan

Ini dengan jelas menunjukkan ketiadaan pemahaman yang jelas di pihak beliau berkenaan kesan ordinan darurat ke atas kehidupan rakyat. Ordinan tersebut mengandungi undang-undang yang memberi kesan secara terus ke atas kehidupan rakyat dan mempunyai peranan kritikal dalam pengurusan pandemik.

Tambahan pula, dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh baginda berhubungan pembukaan parlimen, baginda menggesa agar parlimen dibenarkan untuk dibuka bagi membahaskan ordinan darurat dan Pelan Pemulihan Negara.

Namun, agenda persidangan khas tersebut mengeluarkan (mengetepikan) usul untuk membahaskan ordinan darurat dan ia bercanggah dengan perkenan Agong dan Perkara 150 (3) Perlembagaan Persekutuan.

Nampaknya Vigneswaran gagal memberi perhatian kepada kenyataan ini.

Ketiga, Vigneswaran bersandar kepada Perkara 40 (1A) yang menyatakan bahawa baginda hendaklah bertindak mengikut - atau setelah mempertimbangkan nasihat - kabinet dan perdana menteri.

Presiden MIC turut menyatakan bahawa kita kini berhadapan situasi Agong yang menasihatkan kabinet tentang apa yang perlu dilakukan.

Memang jelas Vigneswaran gagal memahami bahawa tindakan kerajaan menyebabkan berlakunya krisis perlembagaan, dan merupakan keingkaran terhadap titah Agong.

Sekalipun Perkara 40 (1) Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa Agong hendaklah bertindak atas nasihat atau setelah mempertimbangkan nasihat kabinet atau perdana menteri, baginda masih mempunyai kuasa budi bicara seperti yang diperuntukkan di bawah Perkara 150 (2B) yang dibaca bersama Perkara 150(3) berhubung perkara-perkara-perkara berkaitan pengisytiharan dan pembatalan darurat.

Tak boleh dibiarkan saja

Kita mengakui bahawa senarai Aturan Urusan Mesyuarat Parlimen disediakan oleh pihak kerajaan dan bukannya institusi istana. Namun, Presiden MIC gagal untuk mengambil maklum bahawa peranan Agong di bawah Perkara 150 (2B) dan (3) adalah jelas.

Malaysia mengamalkan demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan yang menyaksikan Agong sebagai ketua negara. 

Dalam sistem raja berperlembagaan, Agong mempunyai peranan untuk mengukuhkan keabsahan demokrasi dalam negara dan titah baginda mesti dijunjung.

Benar ungkapan Vigneswaran bahawa kita sedang “indeed treading on uncharted waters”. Oleh yang demikian, Presiden MIC itu harus turut memahami bahawa kita sedang berhadapan dengan krisis perlembagaan.

Isunya sekarang ialah tentang tindakan seorang menteri yang mengelirukan parlimen dan masyarakat awam. Ia tidak boleh dibiarkan begitu sahaja.

Perlembagaan Persekutuan adalah undang-undang tertinggi negara, dan tiada pihak yang boleh mengatasinya. Sebagai sebuah negara, kita mesti menghormati peranan dan fungsi Agong.

Membiarkan pihak yang gagal memahami perkara ini adalah satu tindakan membuka jalan yang mengancam institusi raja berperlembagaan.


MOHAMED KHALED NORDIN ialah naib presiden Umno dan bekas menteri besar Johor.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS