Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Remaja perempuan yang baru-baru ini menarik perhatian ramai mengenai isu gangguan seksual di sekolah, Ain Husniza Saiful Nizam, menerima surat tuntutan daripada seorang guru lelaki.

Melalui surat berkenaan pelajar tingkatan lima itu didakwa melakukan fitnah dengan mengaitkannya dengan gurauan lucah semasa di dalam kelas.

Turut dinamakan sebagai responden dalam surat tuntutan tersebut ialah ibu bapa Ain Husniza.

Antara lain mereka dituntut membuat permohonan maaf serta pampasan bernilai RM1 juta. Jika gagal guru terbabit akan mengambil tindakan lanjut mengikut undang-undang.

"Buat masa ini kami sedang mendapatkan nasihat mengenai langkah sepatutnya diambil," kata bapa pelajar terbabit Saiful Nizam Abdul Wahab, semasa dihubungi Malaysiakini hari ini.

Menurutnya lagi ada lima tuntutan terkandung dalam surat tersebut.

Terdahulu Ain Husniza menciap berkenaan surat tersebut dan tuntutan yang dibuat atas kenyataan yang didakwa bersifat fitnah.

"Hari ni Ain tiba-tiba terima surat tuntutan atas 'pernyataan-pernyataan fitnah.

"Dalam surat ni Ain diberi 7 hari untuk untuk (penuhi) semua tuntutan ni, antaranya untuk membayar RM1,000,000 sebagai ganti rugi.

"All I ask is (Apa yang saya minta ialah) semua doakan urusan Ain dipermudahkan," ciapnya.

Pada 24 April lalu Ain Husniza memuat naik video melalui aplikasi TikTok berkenaan tindakan seorang guru lelaki yang didakwa melakukan jenaka mengenai rogol semasa subjek pendidikan jasmani dan kesihatan.

Ia kemudian mencetuskan polemik dan kemarahan pelbagai pihak di media sosial.

Sejak itu Ain Husniza mendapat sokongan ramai, namun pada masa sama berdepan dengan kritikan serta ancaman, termasuk daripada rakan sekelasnya yang kemudian memohon maaf.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS