Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Syed Saddiq: Wan Fayhsal pujuk saya sokong PM sebelum didakwa
Diterbitkan:  Aug 5, 2021 12:16 PM
Dikemaskini: 4:32 AM

Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang menghadapi tuduhan menyeleweng dana Bersatu, mendakwa Ketua Pemuda Bersatu (Armada) Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal memujuknya untuk kembali kepada parti itu dan menyokong kerajaan Perikatan Nasional.

Dakwa Syed Saddiq, ajakan itu dibuat sebelum dia didakwa di mahkamah.

Syed Saddiq yang juga bekas ketua Armada berkata, sekiranya dia benar-benar mencuri dana parti, mengapa pada masa sama dia diminta untuk menyertai semula parti tersebut.

“Ketua Armada (yang juga ) timbalan menteri, Wan Ahmad Fayhsal datang ke rumah saya sebelum saya dituduh untuk pujuk saya kembali ke Perikatan Nasional dan (menyokong) Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri.

“Saya rasa kalian boleh fikirkan, kalau betullah saya curi duit parti, kenapa nak suruh saya kembali menyokong?

“Dan ibarat seorang CEO (ketua pegawai eksekutif) syarikat yang pecah amanah (CBT), curi duit syarikat tapi pada masa sama nak kekalkan.

“Kalau dah curi, buat apa nak kekalkan? Memang dah kena buang,” katanya kepada pemberita, yang turut disiarkan melalui siaran langsung Facebook hari ini.

https://www.facebook.com/watch/live/?v=142036034659619&ref=notif¬if_id=1628128059204001¬if_t=live_video

Terdahulu di Mahkamah Sesyen di Johor Bahru, Johor, Syed Saddiq yang juga bekas menteri belia dan sukan sewaktu pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan mengaku tidak bersalah terhadap dua pertuduhan menyeleweng RM100,000, selepas pertuduhan tersebut dikemukakan terhadapnya.

Mengulas lanjut mengenai dakwaannya terhadap Wan Ahmad Fayhsal itu, pengasas parti Perikatan Demokratik Malaysia (Muda) itu menyifattan pertuduhan itu sebagai tekanan politik.

“Tekanan politik seperti ini, ugutan saya tak akan tunduk kerana saya percaya saya berada di pihak yang benar,” katanya.

Dia juga mencadangkan supaya pemberita mendapatkan respons balas daripada Wan Ahmad Fayhsal.

“Kalau dia nafikan akan ada kenyataan dan susulan,” katanya.

Syed Saddiq turut mengajukan soalan yang sama kepada Wan Ahmad Fayhsal melalui ciapan di Twitter.

“Kalau saya ni jahat sangat curi duit Armada, kenapa datang jumpa saya sebelum saya didakwa untuk sokong perdana menteri?

“Kebenaran akan terserlah. Berseronoklah dengan ‘surat sokongan’ anda sementara masih ada masa),” ciapnya terhadap status Wan Ahmad Fayhsal yang menghentamnya berhubung dakwaan penyelewengan dana Bersatu.

Malaysiakini sedang cuba mendapatkan respons balas dari Wan Ahmad Fayhsal berhubung dakwaan Syed Saddiq itu.

Sementara itu, peguam Syed Saddiq, Gobind Singh Deo hari ini berkata mahkamah membenarkan kedua-dua kes berhubung tuduhan yang melibatkan RM100,000 itu dibicarakan di Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur selepas pihaknya pendakwa membuat permohonan tersebut.

Pada 22 Julai, Syed Saddiq didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas dua tuduhan menyalahgunakan dana Bersatu bernilai RM1.12 juta dan RM120,000.

Lihat Komen
ADS