Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Tiada tindakan lanjut terhadap guru didakwa buat jenaka rogol dalam kelas

Timbalan pendakwa raya telah memutuskan tiada tindakan lanjut (NFA) terhadap seorang guru yang didakwa membuat jenaka rogol di kelas.

Ketua Polis Sungai Buloh, Shafa'aton Abu Bakar mengesahkan hal berkenaan dengan Malaysiakini dan berkata keputusan itu dibuat pada 8 Jun lalu.

Kes itu mendapat perhatian selepas pelajar berusia 17 tahun, Ain Husniza Saiful Nizam membuat dakwaan tersebut di media sosial pada April.

Antara lain, guru itu didakwa memberitahu pelajar lelaki di kelas bahawa jika mereka ingin merogol seseorang, mereka patut menyasarkan orang berumur 18 tahun ke atas.

Ketika dihubungi, bapa Ain, Saiful Nizam Ab Wahab berkata dia akan mendapatkan nasihat peguam mengenai langkah seterusnya berikutan keputusan NFA itu.

Sejak membuat dakwaan itu di media sosial, Ain telah mendapat sokongan berhubung kebimbangan yang disuarakannya, tetapi pada masa sama turut menerima kritikan dan ancaman, termasuk ugutan rogol daripada seorang pelajar.

Pelajar itu kemudian memohon maaf atas tindakan tersebut.

Semalam, guru tersebut dilaporkan membuat tuntutan RM1 juta terhadap Ain, sebagai ganti rugi atas "kenyataan fitnah" tersebut.

Guru itu turut menuntut permohonan maaf, dan sekiranya gagal berbuat demikian, dia akan mengambil tindakan lanjut mengikut undang-undang.

Ain kemudian memaklumkan di Twitter yang dia dan bapanya akan memberi keterangan kepada polis esok susulan laporan yang dibuat guru tersebut.

Bapanya pula berkata berkata keterangan akan diambil di ibu pejabat polis daerah (IPD) Sungai Buloh pada pukul lima petang.

"Kami akan ke sana bersama-sama peguam Sankara Nair serta Maria Chin (ahli parlimen Petaling Jaya) dan Teresa Kok (ahli parlimen Seputeh)," katanya.

Lihat Komen
ADS