Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PAS dukacita dengan keputusan Umno tarik sokongan dari PN

PAS menyatakan rasa dukacita dengan keputusan Umno yang menarik sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin.

Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, ia susulan PAS dan Umno bersama dalam pembentukan kerajaan PN dan meletakkan sasaran kerajaan ini dipertahan sehingga Parlimen dibubarkan.

"Kita rasa dukacita dengan kenyataan itu (Umno), sebab kita sama-sama bentuk kerajaan PN dan letak target bahawa kerajaan ini bertahan sehingga Parlimen dibubarkan. Itu pendirian Umno sebelum ini.

"Walaupun PAS tiada hak mencampuri urusan parti lain, kita menghormati hak masing-masing.Tetapi sebagai rakan kita rasa perlu juga ambil tahu apa hala tuju nak di bawa dan sebagainya.

"Kerajaan PN adalah kerajaan yang terbaik dan soal kelemahan, semua pihak mempunyai kelemahan. Apa yang penting bagaimana kita mahu menguruskannya," katanya pada sidang media selepas di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Kolej Wadi Sofia, Kota Bharu, Kelantan hari ini.

Anggota Parlimen Kubang Kerian itu berkata demikian ketika diminta mengulas keputusan Umno menarik sokongan daripada PN.

Terdahulu Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi mengisytiharkan bahawa parti itu menarik semula sokongan terhadap PN dan Muhyiddin.

Bagaimanapun Muhyiddin dalam kenyataannya semalam mendakwa dia masih mempunyai majoriti sokongan.

Sementara itu Tuan Ibrahim berkata, PAS dan Umno masih berhubung melalui Muafakat Nasional (MN) yang dibentuk sebelum ini.

"Perbincangan biasa (dengan Umno) kita buat dan saya juga menghubungi mereka (Umnk). Cuma kita harap kita mampu mempertahankan kerajaan PN.

"Malah, Muafakat Nasional (MN) pun masih ada kerana kita bukan fikir untuk sehari dua. Apapun kita menghormati hak parti politik lain," jelasnya yang juga menteri air dan alam sekitar.

Sementara itu, Tuan Ibrahim berkata, Muhyiddin sudah membuat kenyataan dan ia mampu menenangkan keadaan.

Menurutnya, sekiranya ada pihak mendakwa mereka mempunyai majoriti, boleh kemukakan di Parlimen pada September ini.

"Pada 6 September akan ada sidang Parlimen titah Yang di-Pertuan Agong dan pada 7 September, satu usul undi percaya kepada perdana menteri.

"Dalam isu ini, PAS sudah mengeluarkan kenyataan menyokong kepimpinan Perdana Menteri. Isu besar sekarang adalah negara berdepan dengan Covid-19 dan kecelaruan politik akan menggunggu kelancaran untuk menangani pandemik," katanya.

Lihat Komen
ADS