Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) menafikan kes seekor beruk yang dikatakan positif Covid-19 di Gua Musang, seperti gambar yang tersebar di media sosial sejak semalam.

Pengarahnya, Dr Zaini Hussin berkata, dakwaan yang ditularkan itu adalah tidak benar sama sekali dan pihaknya tidak pernah melakukan ujian saringan kepada haiwan.

"Dakwaan itu tidak munasabah kerana kita tidak membuat sebarang ujian saringan kepada haiwan.

"Orang ramai dinasihatkan supaya tidak menyebarkan berita yang tidak sahih kerana boleh menimbulkan kegusaran dalam kalangan orang ramai," katanya ketika dihubungi di Kota Bharu, hari ini.

Terdahulu, satu imej tular di aplikasi whatsApp dan Facebook yang memaparkan seekor beruk dipakaikan gelang merah jambu kerana didakwa positif Covid-19.

Selain itu satu gambar lagi menunjukan beruk tersebut dimasukkan dalam sangkar untuk dibawa menaiki ambulans.